07 Oktober 2008

Aurat Wanita

Soalan:
Apakah aurat bagi seorang perempuan dengan lelaki?
Jawapan:
Seluruh tubuh badan wanita adalah aurat kecuali muka dan tapak tangan.
Maksud ayat 31 surah an Nur:
"Katakanlah kepada wanita-wanita yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya.Dan hendaklah mereka menutup kain tudung ke dadanya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasanya kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka…"
Bahagian mana yang boleh diperlihatkan?
Rasulullullah SAW bersabda:
"Bahawa anak perempuan apabila cukup umurnya, maka mereka tidak boleh dilihat akan dia, melainkan muka dan dua tangannya hingga pergelangan." (H.R. Abu Daud)
Muka dan tangan?
Asma’ binti Abu Bakar ra telah menemui baginda nabi dengan pakain yang nipis.
Sabda Rasulullah SAW:
"Wahai Asma’! Sesungguhnya seorang gadis yang telah berhaid tidak boleh baginya menzahirkan anggota badan kecuali pergelangan tangan dan wajah sahaja." (H.R. Bukhari dan Muslim)
Muka dan leher?
"Dan tinggalah kamu (perempuan) di dalam rumah kamu dan janganlah kamu menampakkan perhiasan kamu seperti orang jahiliyyah yang terdahulu." (ayat 33 Surah al Ahzab)
Larangan bersolek
Larangan sengaja memakai tudung yang menampakkan leher seperti orang jahiliyyah.
Dada?
Dan hendaklah mereka menutup kain tudung ke dadanya,… (ayat 31 Surah an Nur)
Wangian?
"Siapa sahaja wanita yang memakai wangi-wangian dan kemudian mereka melewati sesuatu kaum supaya mereka itu mencium baunya , maka wanita itu telah dianggap melakukan zina dan tiap-tiap mata itu adalah zina." (H.R. Nasai, Ibn Khuzaimah dan Hibban)
Kaki (tumit kaki)?
"Dan janganlah mereka (perempuan) menghentakkan kaki iaitu mengangkatnya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan.." (ayat 31 Surah an Nur)
Larangan menampakkan kaki
Menghayunkan / menghentak / melenggokkan mengikut hentakan kaki
Hakikatnya, sebagai hamba Allah SWT dan umat Rasulullah SAW kita diajar untuk merujuk Al-Quran dan Al-Hadith bagi mendapat kepastian tentang baik buruk dan benar salahnya sesuatu perkara itu. Dalam hal ini, Allah SWT berfirman :-
"Hai Nabi! Katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mu'min semua hendaklah mereka melabuhkan jilbab-jilbab mereka atas (muka-muka) mereka. Yang demikian itu lebih memastikan mereka agar dikenali (sebagai wanita Islam) supaya mereka tidak diganggu." (al-Ahzab: 59)
Jilbab, iaitu pakaian yang lebarnya semacam baju kurung untuk dipakai oleh kaum wanita bagi menutupi tubuh badannya. Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi menerangkan "Sebahagian perempuan Jahiliah apabila keluar rumah, mereka suka menampakkan sebahagian kecantikannya, misalnya dada, leher dan rambut, sehingga mereka ini diganggu oleh laki-laki fasik (jahat) dan yang suka berzina, kemudian turunlah ayat di atas yang memerintahkan kepada orang-orang perempuan Islam untuk melabuhkan jilbabnya itu sehingga semua bahagian-bahagian tubuhnya yang boleh membawa fitnah itu tidak kelihatan. Dengan demikian secara zahirnya pula mereka itu akan dikenali sebagai wanita yang terpelihara (‘afifah) serta tidak mudah diganggu oleh orang-orang yang suka kejahatan atau orang-orang munafik.
Jadi jelasnya, bahawa ayat tersebut memberikan ‘illah (alasan) utama perintah ini adalah kerana bimbang wanita muslimah diganggu oleh orang-orang fasik dan menjadi perhatian orang-orang yang suka berzina. Bukanlah ketakutan yang timbul dari perempuan itu sendiri atau karena tidak percaya kepada mereka, sebagaimana anggapan sebahagian orang, tetapi ia adalah kerana sebahagian wanita yang suka menampakkan perhiasannya, berjalan dengan penuh lenggang lengguk dan bicaranya dibuat-buat manja, sering menarik perhatian nafsu lelaki dan menjadikannya sasaran orang-orang yang suka berzina. (Petikan dari kitab Al-Halal wal Haram fil Islam dengan sedikit pindaan)
Ayat ini juga jelas menunjukkan bahawa salah satu target utama menutup aurat yang diletakkan oleh Allah SWT adalah sebagai kaedah dan cara terbaik bagi mengelakkan wanita Islam dari diganggu dan disakiti.
Sebuah hadith : "Dari Jarir bin Abdullah, ia berkata: Saya bertanya kepada Rasulullah s.a. w. tentang melihat (aurat wanita) secara tiba-tiba tanpa sengaja. Maka jawab Nabi: Palingkanlah pandanganmu itu!" (Riwayat Ahmad, Muslim, Abu Daud dan Tarmizi) - Iaitu, Jangan kamu ulangi melihat untuk kedua kalinya sebagainya datang dalam hadith Nabi kepada Sayyidina Ali r.a.
KESILAPAN KERAP WANITA TENTANG AURAT
KESALAHAN PERTAMA : Aurat itu adalah memakai tudung sahaja.
KESALAHAN KEDUA : Bertudung tetapi ber‘T-Shirt' berlengan pendek.
KESALAHAN KETIGA : Bertudung tetapi baju kebarungnya terbelah kainnya.
KESALAHAN KEEMPAT : Bertudung tetapi bajunya sendat, sempit dan nipis lalu memaparkan bentuk kawasan-kawasan mudah ‘menggoda'.
KESALAHAN KELIMA : Bertudung tetapi amat longgar dan menayangkan jambul dan hujung rambutnya.
KESALAHAN KEENAM : Bertudung tetapi hanya memakainya di pejabat sahaja. Tidak di sekitar rumah, pasaraya dan sebagainya.
KESALAHAN KETUJUH : Bertudung tetapi tudungnya dilempar ke belakang leher, maka terdedahlah dadanya dari ditutupi kain tudung.
KESALAHAN KELAPAN : Bertudung tetapi dengan tudung yang amat nipis sehingga boleh diihat sanggul, leher, tengkuk dan dadanya.
Sebahagian wanita menyangka bahawa tutup aurat tu adalah tutup rambut sahaja. Ia adalah tidak tepat sama sekali. Asasnya adalah dari firman Allah SWT: ertinya :
"Hendaknya mereka itu melabuhkan tudungnya sampai ke dadanya, dan JANGANLAH KAMU MENDEDAHAKN AURAT DAN PERHIASAN KAMU KECUALI APA YANG TERZAHIR." (an-Nur: 31)
Pengertian khumur (tudung), iaitu semua alat yang dapat dipakai untuk menutup kepala. Sedang apa yang disebut ‘juyub' kata jama' (bentuk plural) dari kata jaibun, yaitu belahan dada yang terbuka, tidak tertutup oleh pakaian/baju.
Setiap perempuan Islam wajib menutup kepalanya dengan tudung dan bahagian dadanya termasuk juga leher, sehingga semua tempat-tempat yang boleh membawa fitnah tertutup dari perkara yang memungkinkan dilihat oleh orang-orang yang jahat hatinya.
Menurut Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi yang dimaksud perhiasan perempuan dalam ayat itu pula, iaitu apa saja yang dipakai berhias dan untuk mempercantik tubuh, baik berbentuk ciptaan asli seperti wajah, rambut dan potongan tubuh, ataupun buatan seperti pakaian, perhiasan, make-up dan sebagainya.
Dalam ayat di atas Allah memerintahkan kepada orang-orang perempuan supaya menyembunyikan perhiasan tersebut dan melarang untuk dinampak-nampakkan. Allah tidak memberikan pengecualian, melainkan apa yang terzahir. Oleh karena itu para ulama kemudian berbeza pendapat tentang erti apa terzahir itu serta ukurannya.
Misalnya sahabat besar Nabi seperti Ibnu Abbas r.a, ia berkata dalam menafsirkan apa yang terzahir itu adalah : celak dan cincin.
Yang berpendapat seperti ini ialah sahabat Anas Bin Malik. Justeru, harus dilihat celak dan cincin wanita, bererti boleh dilihatnya juga kedua tempatnya pemakaiannya, iaitu muka dan kedua tapak tangan. Demikianlah apa yang ditegaskan oleh ulama Tabien seperti Said bin Jubair, 'Atha', Auza'i dan lain-lain.
Bagaimanapun Ummul Mukminin Aisyah r.a, Qatadah dan lain-lain menisbatkan gelang sebagai perhiasan yang boleh dilihat. Dengan demikian, maka tempat letak gelang iaitu di pergelangan tangan adalah dibolehkan jika tiada fitnah. Tetapi berkenaan batasnya dari pergelangan sampai ke siku, masih diperselisihkan. Seeloknya di jauhi dari mendedahkannya.
Menurut Syeikh Al-Qaradawi juga, ini tidak sama dengan make-up dan cat-cat yang biasa dipakai oleh perempuan-perempuan zaman sekarang untuk memakai gincu dan bedak merah di pipi serta kuku. Make-up ini semua termasuk berlebih-lebihan yang sangat tidak baik, yang tidak boleh dipakai kecuali di dalam rumah. Sebab perempuan-perempuan sekarang memakai itu semua di luar rumah, adalah untuk menarik perhatian laki-laki. Jadi jelas hukumnya adalah haram.
Namun, kiranya sesempurna mungkin seorang muslimah harus bersungguh-sungguh untuk menyembunyikan perhiasannya, termasuk wajahnya itu sendiri kalau mungkin, demi menjaga meluasnya kerusakan dan banyaknya kefasikan di zaman kita sekarang ini. Lebih-lebih kalau perempuan tersebut mempunyai paras yang cantik yang sangat dikawatirkan akan menimbulkan fitnah.
"Dan hendaknya mereka itu tidak menampak-nampakkan aurat dan perhiasannya kecuali terhadap suami atau ayahnya." (an-Nur: 31)
Kesemua jenis berpakaian yang disebut tadi adalah diharamkan secara sepakat seluruh Ulama Islam. Pengarahan ini tertuju kepada perempuan-perempuan mu'minah, dimana mereka dilarang keras membuka atau menampakkan perhiasannya yang seharusnya disembunyikan, misalnya: perhiasan telinga (anting-anting), perhiasan rambut (sanggul); perhiasan leher (rantai), perhiasan dada (belahan dadanya) dan perhiasan kaki (betis dan gelang kaki).
Semuanya ini tidak boleh dinampakkan kepada laki-laki lain. Mereka hanya boleh melihat muka dan kedua tapak tangan yang memang ada rukhsah untuk dinampakkan.
Amat jelas dari dalil al-Quran dan al-Hadith bahawa Islam mengharamkan perempuan memakai pakaian yang membentuk dan nipis sehingga nampak kulitnya. Termasuk diantaranya ialah pakaian yang dapat menampakkan bahagian-bahagian tubuh, khususnya tempat-tempat yang membawa fitnah, seperti: buah dada, paha, dan sebagainya.
Dalam hadisnya yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah, Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Ada dua golongan dari ahli neraka yang belum pernah saya lihat keduanya itu: (l) Kaum yang membawa cambuk seperti ekor sapi yang mereka pakai buat memukul orang (penguasa yang kejam); (2) Perempuan-perempuan yang berpakaian tetapi telanjang, yang cenderung kepada perbuatan maksiat dan mencenderungkan orang lain kepada perbuatan maksiat, rambutnya sebesar punuk unta. Mereka ini tidak akan boleh masuk syurga, serta tidak dapat akan mencium bau syurga, padahal bau syurga itu tercium sejauh perjalanan demikian dan demikian." (Riwayat Muslim)
Mereka dikatakan berpakaian, karena memang mereka itu melilitkan pakaian pada tubuhnya, tetapi pada hakikatnya pakaiannya itu tidak berfungsi menutup aurat, karena itu mereka dikatakan telanjang, karena pakaiannya terlalu tipis sehingga dapat memperlihatkan kulit tubuh, seperti kebanyakan pakaian perempuan sekarang ini. ( Al-Halal Wal Haram Fil Islam, Dr Yusof Al-Qaradawi)
‘Bukhtun' adalah salah satu macam daripada unta yang mempunyai kelasa (punuk) besar; rambut orang-orang perempuan seperti punuk unta tersebut karena rambutnya ditarik ke atas.
Disebalik keghaiban ini, seolah-olah Rasulullah melihat apa yang terjadi di zaman sekarang ini yang kini diwujudkan dalam bentuk dandanan rambut, dengan pelbagai macam bentuk dalam salon-salon kecantikan, lebih parah pula apabila kaum lelaki pula yang bekerja di salon seperti ini
Larangan Nipis
Saidatina Aisyah r.a meriwayatkan, saudaranya iaitu Asma' binti Abubakar pernah masuk di rumah Nabi dengan berpakaian jarang sehingga tampak kulitnya. Kemudian baginda SAW berpaling dan mengatakan:
"Hai Asma'! Sesungguhnya seorang perempuan apabila sudah haidh (cukup umurnya), tidak patut diperlihatkan tubuhnya itu, melainkan ini dan ini -- sambil ia menunjuk muka dan dua tapak tangannya." (Riwayat Abu Daud)
Walaupun terdapat perawi lemah dari hadis, tetapi diperkuat dengan hadis-hadis lain yang membolehkan melihat muka dan dua tapak tangan ketika diyakini tidak akan membawa fitnah.
Dr Yusof Al-Qaradawi menegaskan bahawa melihat secara normal kepada wanita atau lelaki, kepada selain aurat, selama tidak dilakukan dengan syahwat dan berulang-ulang, hukumnya adalah halal. (Al-Halal Wal Haram Fil Islam)
KESALAHAN KESEMBILAN : Bertudung tetapi menaiki motor sambil menayangkan betis sepanjang jalan.
Diriwayatkan dalam sebuah Hadith :-
Ertinya : Allah sentiasa merahmati para wanita yang memakai seluar panjang (di sebelah dalamnya) (Riwayat Al-‘Uqayli, Dar Qutni dari Abu Hurairah, Musannaf Abd Razak, no 5043; Kanzul Ummal, no 41245) .
Menurut Imam Mujahid, hadith ini berlaku di satu ketika ada seorang wanita jatuh dari kenderaannya sehingga terselak kainnya di hadapan Nabi dan para sahabat, maka dengan segera Nabi SAW memalingkan wajahnya, maka para sahabat berkata dia (wanita itu) memakai seluar. Lalu sebagai respond Rasulllah SAW memuji dan menyebut hadith di atas. ( Al-Bayan wa At-Ta'rif, Ibn Hamzah al-Husyani, 3/ 252, no 1831)
Berdasarkan dalil ini juga, bermakna Allah sentiasa melaknati wanita yang tiadk berseluar panjang (di sebelah dalamnya) semasa naik kenderaan. Demikian menurut kaedah Mafhum Mukhalafah di dalam ilmu Usul Fiqh.
KESALAHAN KESEPULUH : Bertudung dan sempurna penutupan aurat tubuhnya tetapi memanja-manjakan suaranya ketika berinteraksi dengan lelaki. Samada menyanyi mahupun bernasyid. Tiada dakwah yag sesuai buat wanita menerusi nyanyian kerana sesaat sahaj ia berada di atas pentas dengan pakaian canggihnya, seribu mata lelaki yang memandangnya..kita tidak tahu dimanakah mata lelaki itu memandang. Suaranya yang merdu juga membuatkan lelaki yang rosak hatinya akan dibuai nafsu, walaupun penasyid wanita itu sedang mendendangkan lagu ketuhanan.
Larangan ini datang dari Firman Allah SWT : "Janganlah perempuan-perempuan itu berlaku lemah dengan perkataannya, sebab akan menaruh harapan orang yang dalam hatinya ada penyakit." (al-Ahzab: 32)

Semua artikal di atas adalah dengan ihsan dari Us Fakhrul Redza Abd Rahman
Pembentang Usrah Ma'ahad SAS,Jengka

06 Oktober 2008

Wajarkah Perempuan Bekerja?

1. Pengenalan

Sejak dahulu lagi perempuan bekerja di rumah dan dia bekerja di luar rumah di samping suaminya. Suatu contoh terbaik yang berlaku di dalam rumah Nabi S.A.W. tentang Fatimah R.A.terhadap kerja-kerjanya menggerakkan alat pengisar, dan tanda-tanda di tengkuknya kerana memikul kantung air. Sastera Arabpun ada menceritakan sebuah kisah yang menunjukkan kepada kita betapa banyak kaum perempuan yang bekerja membusar kapas dan menenun. Kerja-kerja itu pula merupakan punca pendapatan bagi keluarga.

Al Wadhin bin Ata’ berkata : Abu Ja’afar al Mansur sewaktu menjadi khalifah telah memintaku menziarahinya. Perhubungan persahabatan di antara kami telah terjalin sejak sebelum dia menjadi khalifah lagi. Akupun berrangkat menuju ke Baghdad dan pada suatu hari kami duduk berdua-duaan sahaja. Diapun bertanya kepada ku : " Abu Abdullah, berapa banyak harta mu " ? Aku menjawab : " Sebagaimana yang diketahui oleh Amirul Mukminin sahaja ".Dia bertanya lagi : " Berapa ramai tanggungjawab mu "? Aku menjawab : " Tiga orang anak perempuan, seorang isteri dan seorang khadam ".Dia berkata kepada ku : " Ada empat orang perempuan di rumah mu "? Aku menjawab : " Ya". Al Mansur menyebutnya berulang kali sehingga aku sangka dia akan memberikan aku bantuan wang. Kemudian dia mengangkat kepalanya dan berkata : " Engkaulah orang Arab yang paling mewah sekali. Empat orang tukang tenun mendatangkan kekayaan di rumah mu ".

Perempuan juga bekerja di luar rumah di samping suaminya. Dia turut bersama-sama menggembala kambing , mencangkul dan menggali tanah serta berulang - alik ke pasar. Semua ini bukanlah topik perbicaraan kita sekarang . Selagi pekerjaan perempuan itu berada di sekitar kawasan rumahnya atau kerana menolong suaminya bekerja. Maka pekerjaannya itu adalah perkara biasa, malah kadang-kadang merupakan satu keperluan. Dan ini tidak menimbulkan suatu kemusykilan yang patut difikirkan. Tetapi perbahasan kita adalah perempuan yang keluar sebagai pekerja iaitu pekerjaan yang dilakukan oleh gadis-gadis dan perempuan di zaman ini.

2. Taraf Pendidikan dan Tingkatan Akademik Perempuan

Nyatalah kepada kita bahawa kebanyakkan pekerjaan yang mendapat perhatian perempuan kini adalah berkaitan dengan pendidikannya dan tingkatan akademik yang membolehkannya menjalankan kerja dan mendapatkan sesuatu jawatan yang baik. Kita tidak menafikan bahawa didikan ke atas kaum perempuan adalah sangat penting. Sejak permulaan Islam lagi , kaum perempuan amat mementingkan bahagian mereka dalam ilmu pengetahuan.

Imam Bukhari telah meriwayatkan bahawa beberapa orang perempuan berkata kepada Nabi S.A.W. : " Kaum lelaki telah mengatasi kami belajar darimu , lapangkanlah dirimu satu hari untuk kami ". Rasulullah S.A.W. pun menentukan satu hari untuk bertemu dan mengajar mereka. Hasilnya generasi Islam yang pertama itu , terutama sekali kaum perempuan Ansar mempunyai sekumpulan perempuan yang merupakan golongan paling beruntung melalui kelas-kelas pembelajaran itu.

Pada zaman kini , kaum perempuan telah mencapai banyak kejayaan di dalam pelbagai lapangan pengajian. Malah diberikan pula beberapa kemudahan , yang sebelumnya payah diperolehi. Mereka memasuki gedung-gedung ilmu pengetahuan , universiti-universiti dan makmal-makmal penyelidikan serta beroleh kejayaan yang gemilang. Dalam menuntut ilmu , Islam tidak menggesa kaum lelaki sahaja, tetapi memerintahkan seluruhnya. Kaum perempuan juga mempunyai tanggungngan yang sama sebagaimana diberikan kepada kaum lelaki dari segi akidah dan ibadat yang menyebabkan mereka mesti tahu bagaimana menjadikan hidupnya itu selari dengan tuntutan Islam.

Pada umumnya , pendidikan kaum perempuan itu adalah suatu perkara yang patut diambil berat dan digesa oleh Islam supaya meliputi pelbagai jenis pelajaran. Pemmpin-pemimpin Islam patut mengambil inisiatif terhadap pendidikan anak-anak perempuan mereka dan mengesa supaya memberikan kaum perempuan bahagian terbesar dari pelajaran dan ilmu pengetahuan.

3. Kewajaran Perempuan Bekerja

Melalui keterangan di atas timbul satu persoalan yang ada kaitan rapat dengan kajian kita ini iaitu : Adakah tujuan ilmu pengatahuan itu supaya kaum perempuan bekerja dan mengisi mana-mana jawatan untuk mencurahkan ilmu pengetahuannya lantaran dapat memberi faedah dan menerima faedahnya dalam lapangan ini.?

Jawaban yang tegas dan tepat ialah tidak. Di sana tidak ada satu ilmu pengetahuanpun yang memasti dan menjanjikan manusia memegang jawatannya , kecuali apabila maslahat umum memerlukan. Ilmu pengetahuan dan jawatan kerja adalah dua perkara yang berlainan. Jika kita berdiri dan beratur menantikan jawatan-jawatan kerja, itu bukanlah termasuk di dalam kewajiban ilmu pengetahuan.

Sekiranya masyarakat memerlukan pekerjaan kaum perempuan , maka barulah mereka bekerja. Sekiranya dia seorang doktor dan masyarakat memerlukan doktor-doktor perempuan , atau dia seorang guru dan masyarakat memerlukan guru-guru perempuan , maka pekerjaan perempuan ketika itu adalah wajib samasekali. Malahan Islam mewajibkannya berjihad sekiranya negeri diserang oleh musuh Islam , dan jika pada ketika itu dia dikehendaki keluar menggabungkan diri di dalam perjuangan sekadar yang terdaya olehnya ; tanpa memerlukan keizinan suaminya atau bapanya maka dia hendaklah keluar menyahut seruan Islam itu. Allah berfirman :
انفروا خفافا وثقالا وجاهدوا بأموالكم وانفسكم فى سبيل الله
" Berangkatlah dengan merasa ringan atau berat serta berjuanglah dengan hartamu dan dirimu di jalan Allah "
( Surah at Taubah : 41 )
Dunia sekarang ini sedang melalui satu peringkat ekonomi yang tiada membolehkan kebanyakan pemuda-pemuda bersendirian mencari rezki dalam mendirikan rumahtangga . Dengan sebab itu kebanyakan pemuda sangat-sangat berharap untuk mendapatkan seorang pemudi yang bekerjaya agar dengan gaji si isteri nanti dapatlah mereka bersama-sama menanggung bebanan rumahtangga itu.
Sekarang kita tiba kapada suatu pertanyaan yang paling penting di dalam perbahasan ini, iaitu yang berkaitan dengan pekerjaan perempuan di luar rumah tanpa diperlukan oleh masyarakat dan tanpa diperlukan oleh dirinya sendiri atau tanpa diperlukan oleh suaminya. Kita bertanya : Adakah harus perempuan itu bekerja dalam keadaan sebegini ?
Jawabnya ialah kalau pekerjaan itu akan menyebabkan cuai dalam menjalankan hak suaminya, atau hak anak-anaknya, atau membawa kepada pergaulan yang tidak sopan , maka pekerjaannya itu tidak diterima syara’ selagimana pekerjaan itu tiada mempunyai apa-apa keperluan tertentu atau keperluan am.
Ramai kedapatan kaum perempuan yang bekerja sesudah berumahtangga bukan kerana masyarakat berhajat kepada pekerjaannya itu, dan bukan pula kerana kehidupan keluarga memerlukannya tetapi semata-mata kerana pekerjaan itu sahaja disamping ingin keluar dari rumah serta melibatkan diri di tengah-tengah kesibujan hidup ini. Mereka berhujjah di antara tujuannya ialah untuk bergerak agar badan tiada gemuk. Sebab-sebab seperti ini tidak mengharuskan kerja terutama sekali pada zaman kini dimana pekerjaan itu merupakan suatu pertarungan dan juga tanggungjawab yang harus dipikul oleh perempuan sedangkan mereka tidak seharusnya bekerja. Dimasa yang sama tindakan mereka itu telah menutup ruang-ruang pekerjaan oleh kaum lelaki dari tempat-tempat kerja yang kosong itu. Yang demikian ini samalah seperti menutup keperluan orang yang berhajat. Tentang gerak badan supaya tidak menggemukkan itu , sekarang ini banyak cara yang boleh dilakukan oleh kaum perempuan yang boleh juga memberi faedah kepada masyarakat umpamanya menggabungkan diri dengan pentadbiran badan-badan kebajikan, pemeliharaan anak-anak yatim dan pelbagai kegiatan lagi.

Hari ini pekerjaan adalah berat dan payah serta memerlukan waktu-waktu yang awal untuk keluar rumah dan menggunakan apa sahaj jenis kenaikan sewaktu pagi dan balik. Apabila balik ke rumah mereka akan merasa letih dan lesu kerana penat bekerja pada sebelah siangnya di samping menanggung kepayahan sewaktu dalam perjalanan. Segala-galanya ini akan dicerminkannya di rumah. Suami juga akan pulang dari kerjanya dengan penuh kelesuan serta mengharapkan si isteri yang akan menyambutnya dengan baik atau sekurang-kurangnya meringankan bebannya itu tetapi sebaliknya berlaku. Dengan demikian tenggelamlah anak-anak di tengah-tengah kekecohan keduanya.

Banyak kedapatan kaum perempuan mula-mula bekerja ketika mereka benar-benar memerlukannya. Kemudian setelah berkahwin dengan lelaki yang berada dan mampu menanggung segala-galanya namun si isteri it uterus juga dengan pekerjaannya kerana menyangka bahawa pekerjaan itu dapat memperkuat serta memperkukuhkan kedudukannya di dalam hidup ini dan menjamin hari depannya sebab dia boleh bergantung pada dirinya sendiri.

4. Penutup

Ringkasnya dari apa yang telah lalu perempuan mestilah belajar dan terus belajar , dan ilmu pengetahuan tiadalah boleh dikaitkan dengan pekerjaan. Ilmu pengetahuan mestilah digunakan untuk meninggikan taraf. Pekerjaan perempuan tiada dikehendakki melainkan bila ada keperluan yang benar-benar kepadanya . Dengan pekerjaan , perempuan lebih kerap mendapat kerugian daripada keuntungan yang diperolehinya.




Rujukan

Dr. Mustofa Al-Khin et.al 2005. Kitab Fikah Mazhab Syafie.
Kuala Lumpur : Pustaka Salam Sdn Bhd.

Prof. Dr. Ahmad Shalaby 1982. Kehidupan Sosial Dalam Pemikiran Islam.
Singapura : Pustaka Nasional Pte Ltd.

Prof. Madya Dr. Mohamad Som Bin Sujimon et.al 2006. Fikah keluargaan.
Pusat Penyelidikan UIAM.