11 Ogos 2009

Beberapa Persoalan Berkenaan Puasa

Soalan : Di beberapa farmasi ada inhaler yang digunakan oleh sebahagian pengidap athma. Adakah orang yang berpuasa boleh menggunakannya di siang hari Ramadhan?

Dijawab oleh Syaikh Muhammad bin Shalih Al-Utsaimin;

Menggunakan inhaler bagi yang berpuasa hukumnya boleh, sama ada ianya puasa Ramadhan ataupun yang lainnya. Kerana inhaler itu tidak sampai ke perut tapi hanya berfungsi melegakan saluran pernafasan dan penggunaannya pun hanya dengan bernafas seperti biasa. Jadi hal ini tidak seperti makan dan minum.

Sebagaimana diketahui, bahawa hukum asal puasanya adalah sah sampai ada dalil yang menunjukkan rosaknya puasa, baik dari Al-Kitab, As-Sunnah, Ijma’ ataupun Qiyas yang Sahih.

[Fadha’il Ramadhan, disusun oleh Abdurrazaq Hasan, Soalan no. 1]

[Disalin dari bukuAl-Fatawa Asy-Syar’iyyah Fi Al-Masa’il Al-Ashriyyah Min Fatawa Ulama Al-Balad Al-Haram, edisi Indonesia Fatwa-Fatwa Terkini, Penerbit Darul Haq]

Sumber :Disunting dan dialihbahasa dari http://www.almanhaj.or.id/

Cuci Darah (Hemodialisis) Semasa Puasa

Soalan : Apa hukum mencuci darah (hemodialisis) bagi penderita sakit ginjal yang sedang berpuasa. Adakah dia harus qadha atau tidak ?

Dijawab oleh Syaikh Muhammad bin Shalih Al-Utsaimin;

Dia wajib mengqadha kerana adanya tambahan darah bersih, dan jika ditambahkan zat lain, maka itu juga sebab pembatalan puasa.

[Fadha’il Ramadhan, disusun oleh Abdurrazaq Hasan, pertanyaan no. 2]

Komen Webmaster : Hemodialisis tidak membatalkan puasa selagi darah yang dicuci itu adalah darah sendiri (darah keluar masuk adalah darah yang sama dari pesakit). Namun jika berlaku pertambahan darah baru dari sumber lain dan dimasukkan zat tambahan, maka puasanya terbatal. WaLLAHu a’lam.

Sumber :Disunting dan dialihbahasa dari http://www.almanhaj.or.id/

Suntikan Di Siang Hari Ramadhan

Soalan : Apakah suntikan perubatan di siang hari bulan Ramadhan mempengaruhi puasa?

Dijawab oleh Syaikh Muhammad bin Shalih Al-Utsaimin:

Suntikan perubatan ada dua jenis. Pertama, suntikan (infusion), yang mana dengan suntikan ini boleh mencukupi keperluan makan dan minum. Maka suntikan ini termasuk perkara yang membatalkan.

Adapun jenis yang kedua adalah suntikan yang tidak mengandungi zat makanan dan minuman. Jadi suntikan jenis ini bukan bererti seperti makan dan minum. Maka hukum puasanya sah sampai ada dalil syar’i yang menetapkan bahawa hal itu membatalkannya.

[Fatawa Ash-Shiyam, dikumpulkan oleh Muhammad Al-Musnad, hal. 58]

Sumber :Disunting dan dialihbahasa dari http://www.almanhaj.or.id/

Puasa Pesakit Diabetes

DIABETES Mellitus (DM) adalah penyakit kronik di mana terdapat kadar gula berlebihan di dalam darah yang disebabkan oleh gangguan hormon insulin iaitu hormon yang berperanan mengawal paras gula dalam darah, baik secara kuantiti (insulin berkurangan) atau kualiti (insulin tidak berkesan).

Mengikut Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan Kedua pada 1996, lebih 1.5 juta penduduk negara ini menghidap diabetes. Daripada jumlah itu, kira-kira satu juta terdiri daripada mereka yang beragama Islam yang secara amnya bertanggungjawab untuk berpuasa di bulan Ramadan.

Persoalannya, bolehkah pesakit diabetes berpuasa sedangkan mereka terpaksa begantung kepada ubat-ubatan atau suntikan insulin setiap hari untuk mengawal penyakit?

Pesakit diabetes yang beragama Islam bolehlah mengikuti panduan berikut, yang dipetik daripada persidangan yang menggabungkan pemikiran para ulama Islam dan doktor perubatan moden.

Siapa yang boleh dan tidak boleh berpuasa?

Secara umumnya, pesakit yang mempunyai berat badan berlebihan dan diabetesnya terkawal serta tidak memerlukan insulin memanglah digalakkan berpuasa.

Walau bagaimanapun, pesakit diabetes yang tidak terkawal paras gulanya dan tidak mengambil ubat-ubatan atau suntikan insulin seperti yang disyorkan oleh doktor mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk berdepan dengan komplikasi jika berpuasa.

Antara pesakit diabetes yang tidak digalakkan berpuasa termasuklah;

· Penyakit diabetesnya tidak stabil. Dibimbangi ia akan mengakibatkan pelbagai komplikasi seperti dehidrasi (kekurangan air), jangkitan kuman dan koma.

· Mengalami komplikasi diabetes yang serius seperti penyakit jantung koronari dan tekanan darah tinggi yang tidak terkawal.

· Kerap mengalami komplikasi diabetik ketoasidosis (lebih cenderung bagi pengidap Diabetes Jenis I dan pesakit yang menggunakan suntikan insulin).

· Kerap mengalami komplikasi hipoglisemia (kekurangan gula dalam darah).

· Sedang mengalami jangkitan kuman.

· Warga tua dan tinggal bersendirian.

· Hamil yang memerlukan suntikan insulin.

· Berusia di bawah 12 tahun.

Pesakit diabetes yang ingin berpuasa mestilah bersahur, menyegerakan berbuka puasa, makan ubat/menyuntik insulin mengikut nasihat doktor, mengawasi penyakit diabetes dan kesihatan mereka secara umumnya dan peka dengan tanda-tanda hipoglesemia, hiperglisemia (gula berlebihan dalam darah) dan dehidrasi.

Mereka harus segera berbuka apabila mengalami samada hipoglisemia, hiperglisemia atau dehidrasi. Adalah haram untuk pesakit meneruskan puasa kerana ia boleh mendatangkan kemudaratan. Jangan sekali-kali mengubahsuai dos ubat atau insulin dan waktu ia harus dimakan/disuntik tanpa rujukan doktor.

Mengenal pasti keadaan hipoglisemia, hiperglisemia dan dehidrasi

Hipoglisemia

Hiperglisemia

Dehidrasi

Menggigil
Terlalu lemah
Amat lapar
Berpeluh
Pucat
Berdebar-debar
Gelisah
Koma (tidak sedarkan diri)

Kerap buang air kecil
Terlalu dahaga
Sangat letih

Amat dahaga
Kulit dan lidah yang terlalu kering
Fikiran terganggu




Diet - Elakkan makan berlebihan ketika berbuka puasa dan pada waktu malam. Karbohidrat dan makanan berlemak boleh menambahkan berat badan serta menyukarkan kawalan diabetes.

Panduan kepada pesakit diabetes yang dibenarkan berpuasa

Sahur

Berbuka

Sekurang-kurangnya semangkuk oat/bijirin ATAU
3-4 keping roti ATAU
Nasi dan lauk (lebihkan sayur-sayuran)

Hadkan pengambilan air bergula, kuih-muih manis.
Jika memakan kurma, hadkan kepada dua hingga tiga biji sahaja.
Kurangkan pengambilan nasi dan lebihkan sayur-sayuran.

Senaman – Melakukan aktiviti fizikal yang ringan ketika berpuasa tidak akan mendatangkan kemudaratan. Perubahan terhadap diet dan ubat-ubatan ketika bersahur harus dibuat (mengikut nasihat doktor) bagi mengelakkan hipoglisemia.

Ubat – Dapatkan nasihat doktor tentang pengubahsuaian dos serta waktu pengambilan ubat. Sebagai panduan, dos ubat-ubatan seperti glibenclamide, gliclazide, glipizide, chlorpropamide dan Acarbose yang di ambil sebelah pagi pada kebiasaannya di hari tidak berpuasa, ditukar masa pengambilannya ke waktu berbuka puasa.

Dos yang diambil sebelum makan malam malam sewaktu tidak berpuasa pula perlu diambil sebelum bersahur. Pengurangan dos yang diambil mungkin perlu untuk mengelakkan hipoglisemia.

Ubat seperti repaglinide perlu dimakan pada waktu bersahur dan berbuka puasa. Metformin dan Rosiglitazone secara amnya kurang mengakibatkan hiploglisemia dan selalunya tidak memerlukan perubahan dos.

Insulin – Dos dan waktu insulin disuntik harus diubahsuai mengikut arahan doktor berdasarkan ujian tahap gula dalam darah yang dilakukan pada permulaan puasa seperti berikut:

Tiga kali suntikan insulin: Dua dos insulin yang bertindak segera (short-acting insulin) ketika berbuka dan sebelum bersahur. Ini diikuti dengan satu dos insulin yang bertindak lama (intermediate acting insulin) sebelum tidur.

Dua kali suntikan insulin: Satu dos insulin yang sudah dicampur (premixed insulin) ketika berbuka puasa. Dos yang diperlukan adalah sama seperti dos yang diberika pada waktu pagi di hari tidak berpuasa. Satu dos insulin yang bertindak segera pula diberi sebelum bersahur .

Pada permulaan bulan puasa, tahap gula dalam darah perlu diuji pada waktu-waktu berikut:

· Sebelum bersahur

· Dua hingga empat jam sebelum bersahur

· Sebelum berbuka puasa

· Dua hingga empat jam kemudian

Perkara lain yang perlu diberi perhatian

Pesakit yang memerlukan insulin perlu menjalani ujian ketone di dalam air kencing atau darah, sekiranya tahap gula di dalam darah mereka terlalu tinggi. Langkah ini dapat mengelakkan berlakunya koma diabetik ketoasidosis. Pesakit ini juga mesti segera berbuka puasa.

Awasi berat badan di sepanjang bulan puasa. Pertambahan lebih dua kilogram perlu dimaklumkan kepada doktor. Jika dalam satu hari berat badan didapat berkurangan 3%, pesakit mestilah segera berbuka bagi mengelakkan kemungkinan berlakunya dehidrasi yang serius.

Banyakkan minum air tetapi elakkan minuman manis. Gantikan air yang hilang ketika membuang air kecil di tengah malam dengan meminum air.

Dengan pengawasan yang baik, ibadah puasa dapat dilaksanakan dengan selamat oleh pesakit diabetes. Pesakit perlu menjaga diet ketika berbuka, bersahur dan mendapatkan nasihat doktor berhubung pengubahsuaian dos dan waktu ubat/insulin harus dimakan/disuntik. Pesakit perlu peka terhadap tanda-tanda hipoglisemia atau dehidrasi. Sekiranya ia berlaku, pesakit mestilah segera berbuka puasa.

Sumber: Artikel asal disediakan oleh A/Prof Dr Nor Azmi Kamarudin, Klinik Diabetis dan Endokrinologi Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) dan diterbitkan untuk pendidikan ehsan oleh Novo Nordisk Pharma (M) Sdn Bhd.

Kemudahan Dan Keringanan Ketika Berpuasa

1. Bagi Mereka Yang Bermusafir

Terdapat beberapa hadis sahih yang menjelaskan bahawa dibolehkan bagi para musafir untuk memilih tidak berpuasa. Malah perlu kita ketahui bahawa rahmat Allah dan keringan ini turut disebutkan di dalam kitab yang mulia. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman: (yang ertinya): “Barangsiapa yang sakit atau dalam keadaan bermusafir maka gantilah (puasanya) pada hari yang lain sebanyak jumlah yang ditinggalkannya itu. Allah menghendaki kemudahan bagi kamu sekalian dan tidak menginginkan kesulitan.” (al-Baqarah, 2: 185)

Hamzah bin Amr al-Aslami pernah bertanya kepada Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi wa Sallam: “Adakah boleh aku berpuasa ketika dalam safar?” (dia adalah termasuk dalam kalangan yang banyak mengerjakan ibadah puasa) Maka Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi wa Sallam bersabda (yang ertinya): “Puasalah jika kamu mahu dan berbukalah jika mahu.” (Hadis Riwayat al-Bukhari (4/156), Muslim (1121))

Dari Anas bin Malik radhiallahu ‘Anhu berkata: “Aku pernah melakukan safar bersama Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi wa Sallam di bulan Ramaadhan, orang yang berpuasa tidak mencela yang berbuka dan yang berbuka tidak mencela yang puasa.” (Hadis Riwayat al-Bukhari (4/163), Muslim (1118))

Hadis-hadis ini menunjukkan bahawa bolehnya memilih, tidak menentukan mana yang afdhal, namun mungkin kita akan menyatakan juga bahawa yang afdhal adalah berbuka dengan berdaarkan hadis-hadis yang umum. Ini adalah seperti sabda Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi wa Sallam (yang ertinya): “Sesungguhnya Allah senang jika rukhsah yang Ia berikan diambil sebagaimana Dia membenci kemaksiatan yang dilakukan kepada-Nya.” (Hadis Riwayat Ahmad (2/108), Ibnu Hibban (2742) dari Ibnu Umar dengan sanad yang sahih)

Dalam satu riwayat yang lain: “Sebagaimana Dia senang ketentuan hukum-Nya dilaksanakan.” (Hadis Riwayat Ibnu Hibban (354), al-Bazzar (990), ath-Thabrani di dalam al-Kabir (11881) dari Ibnu Abbas dengan sanad yang sahih)

Tetapi mungkin hal ini dibatasi bagi orang yang tidak merasa berat dalam mengqadha dan menunaikannya, agar rukhshah tersebut tidak bertentangan dari maksudnya. Perkara ini telah dijelaskan sejelasnya tanpa keraguan. Dalam satu riwayat dari Abu Said al-Khudri Radhiallahu ‘anhu: “Para sahabat berpendapat bahawa barangsiapa yang merasa kuat (untuk berpuasa) maka lebih baik baginya untuk berpuasa, manakala bagi yang merasa lemah, berbuka adalah lebih baik.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi (713), al-Baghawi (1763) dari Abu Said. Sanadnya sahih)

Mudah-mudahan Allah membimbing kita semua ke jalan petunjuk dan ketaqwaan serta memberikan rezeki berupa pemahaman dalam agama. Sesungguhnya puasa dalam safar jika memberatkan hamba bukanlah suatu kebajikan sedikitpun, tetapi berbuka lebih utama dan lebih disenangi Allah. Dalil yang menjelaskan persoalan ini adalah riwayat dari beberapa orang sahabat, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi wa Sallam pernah bersabda (yang ertinya): “Bukanlah suatu kebajikan melakukan puasa dalam safar.” (Haids Riwayat al-Bukhari (4/161), Muslim (1110) dari Jabir radhiyallahu ‘anhu)

Peringatan

Terdapat sebahagian orang yang menyangka dan menganggap bahawa pada zaman kita sekarang tidak diperbolehkan berbuka ketika di dalam musafir, hingga mencela orang yang mengambil rukhsah tersebut, atau berpendapat puasa itu lebih baik kerana mudah dan banyaknya sarana pengangkutan pada ketika (zaman) ini. Sebenarnya orang-orang seperti ini perlu kita “usik” ingatan mereka kepada firman Allah Yang Maha Mengetahui perkara ghaib dan nyata (yang ertinya): “Rabmu tidak pernah lupa.” (Maryam, 19: 64)

Dan firman-Nya (yang ertinya): “Allah telah mengetahui sedangkan kalian tidak mengetahuinya.” (al-Baqarah, 2: 232)

Dan perkataan-Nya di tengah ayat tentang rukhshah berbuka dalam safar (yang ertinya): “Allah menghendaki kemudahan bagi kamu dan tidak menginginkan kesulitan.” (al-Baqarah, 2: 185)

Di sini menjelaskan bahawa kemudahan (keringanan) bagi orang yang safar adalah sememangnya perkara yang dikehendaki oleh Allah. Dan ini juga sebenarnya termasuk salah satu tujuan syariat, cukup bagimu bahawa Dzat yang mensyariatkan agama ini adalah pencipta zaman, tempat dan manusia. Dia lebih mengetahui keperluan manusia dan segala yang menjadi maslahah bagi mereka. Allah berfirman (yang ertinya): “Apakah Allah Yang menciptakan itu tidak mengetahui (yang kamu zahirkan atau rahsiakan); dan Dia Maha Halus lagi Maha Mengetahui?” (al-Mulk, 67: 14)

Di sini diperjelaskan supaya agar seseorang muslim tahu jika Allah dan Rasul-Nya sudah menetapkan suatu perkara, tidak ada pilihan lain bagi manusia bahkan Allah memuji hamba-hamba-Nya yang mu’min yang tidak mendahulukan perkataaan manusia di atas perkataan Allah dan Rasul-Nya:

“Wahai Rabb! Kami mendengar dan taat, ampunilah kami, wahai Rabb kepada-Mu-lah kami kembali.” (al-Baqarah, 2: 285)

2. Orang yang Sakit

Allah membolehkan orang yang sakit untuk berbuka sebagai suatu rahmat dari-Nya sekligus merupakan kemudahan (rukhsah) bagi orang yang sakit. Sakit yang membolehkan seseorang individu itu untuk berbuka adalah sakit yang bila dibawa berpuasa akan menyebabkan satu mudharat atau semakin parah penyakitnya atau dikhuwatirkan memperlambat kesembuhan.

“Barangsiapa yang sakit atau dalam keadaan bermusafir maka gantilah (puasanya) pada hari yang lain sebanyak jumlah yang ditinggalkannya itu. Allah menghendaki kemudahan bagi kamu sekalian dan tidak menginginkan kesulitan.” (al-Baqarah, 2: 185)

Wallahu A’lam.

3. Haid dan Nifas

Para ulama telah sepakat bahawa orang yang haid dan nifas tidak dihalalkan berpuasa, keduanya harus berbuka dan mengqadha-nya di lain hari. Malah sekiranya keduanya berpuasa ia tidaklah sah.

“Apabila yang demikian itu (haid) menimpa kami, maka kami disuruh (oleh Rasulullah) mengqadha puasa namun tidak disuruh untuk mengqadha solat.” (Hadis Muslim, 335 (Kitab al-Haid))

4. Orang yang sudah tua (uzur/lemah)

Ibnu Abbas Radhiallahu ‘Anhuma berkata: “Orang yang telah tua sama ada lelaki mahupun perempuan yang tidak mampu untuk berpuasa haruslah dia memberi makan setiap hari (mengikut jumlah puasa yang ditinggalkannya) seorang miskin.” (Hadis Riwayat al-Bukhari (4505). Lihat Syarhus Sunnah (6/316), Fathul Bari (8/180), Nail al-Authar (4/315))

Diriwayatkan dari ad-Daruquthni (2/207) dan disahihkannya, melalui jalan Manshur, dari Mujahid, dari Ibnu Abbas, dia membaca: (yang ertinya): “Dan wajib bagi orang-orang yang berat menjalankannya (jika mereka tidak berpuasa) supaya membayar fidyah, (iaitu): memberi makan seorang miskin.” (al-Baqarah, 2:184)

Kemudian beliau berkata: “Iaitu lelaki tua yang tidak mampu berpuasa dan kemudian berbuka, dia harus memberi makan seorang miskin setiap harinya ½ sha’ gandum.

Dari Abu Hurairah Radhiallahu ‘Anhu: “Barangsiapa yang mencapai usia lanjut dan tidak mampu melaksanakan puasa di bulan Ramadhan, dia harus mengeluarkan setiap harinya (mengikut jumlah hari puasa yang ditinggalkannya) 1 mud gandum.” (Hadis Riwayat ad-Daruquthni (2/208) dalam sanadnya ada Abdullah bin Shalih, dia dhaif, tapi hadis ini mempunyai syahid (penguat))

Dari Anas bin Malik radhiyallahu ‘anhu: “Bahawasanya dia pernah tidak mampu untuk berpuasa selama satu tahun, kemudian beliau membuat satu wadah Tsarid, dan mengundang 30 orang miskin sehingga menjadikan mereka kenyang.” (Hadis Riwayat ad-Daruquthni (2/207), sanadnya sahih)

5. Wanita yang hamil dan menyusukan anak

Di antara rahmat Allah yang agung kepada hamba-hamba-Nya yang lemah, Allah memberi rukhshah kepada mereka untuk berbuka, dan di antara mereka adalah wanita yang hamil dan menyusukan anak.

Dari Anas bin Malik radhiyallahu ‘anhu (iaitu al-Ka’bi, bukan Anas bin Malik al-Anshari, pembantu Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi wa Sallam, tapi ini adalah seorang pemuda dari Bani Abdillah bin Ka’ab, dan dia pernah tinggal di Bashrah, beliau hanya meriwayatkan hadis ini sahaja dari Nabi Shallallahu ‘Alaihi wa Sallam): “Kuda Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi wa Sallam mendatangi kami, aku pun mendatangi Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi wa Sallam, dan aku temui dia sedang makan. Beliau bersabda: “Mendekatlah ke sini dan makanlah”, Aku berkata, “Sesungguhnya aku sedang berpuasa”, Maka beliau bersabda, “Mendekatlah ke sini, aku akan membeitahumu berkenaan dengan puasa. Sesungguhnya Allah Tabaraka wa Ta’ala menggugurkan (meringankan) setengah hari beban solat ke atas orang yang bermusafir, menggugurkan (memberi rukhsah) ke atas wanita yang hamil dan menyusukan anak akan kewajiban berpuasa. Demi Allah Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi wa Sallam telah mengucapkan keduanya atau salah satu dari keduanya. Aku pun benar-benar menyesal kerana tidak memakan makanan Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. (Hadis Riwayat at-Tirmidzi (715), an-Nasa’i (4/180), Abu Dawud (3408), Ibnu Majah (16687). Sanadnya hasan sebagimana pernyataan at-Tirmidzi)

Sumber : Akh. Nawawi Subandi, http://fiqh-sunnah.blogspot.com

Puasa Wanita Istihadhah

Soalan : Minta bantuan para panel menerangkan permasalahan wanita istihadhah yang ingin berpuasa, sama ada puasa di bulan Ramadhan ataupun sekadar puasa sunat atau puasa ganti. Harap dapat keterangan kerana dari carian sekadar penerangan sekitar permasalahan wanita istihadhah dan solat, terima kasih.

Jawapan:

Hukum wanita istihadhah (darah kerana sakit) adalah sama dengan hukum wanita suci dalam banyak permasalahan. Maka wanita istihadhah wajib sembahyang fardhu, wajib puasa Ramadhan, boleh berpuasa sunat, dan boleh berpuasa ganti ketika waktu istihadhah itu.
Yang menghalang daripada puasa ialah: Haidh dan Nifas sahaja.

Ini adalah pendapat semua keempat-empat mazhab.

Rujukan:
-Badai’ Sanaie 1/161 (mazhab Hanafi)

-al-Talqin m/s 73 (mazhab Maliki)

-al-Majmuk 2/417 (Mazhab Syafie)

-Fatwa Lajnah Daemah no: 6495, m/s 5/404.

Wallahu a’lam.

Sumber : disunting dari Soal Jawab Agama, http://abuumair1.wordpress.com/

Panduan Ringkas Sepanjang Bulan Ramadhan

Perkara-perkara yang Membatalkan Puasa

1) Makan dan minum dengan sengaja. Jika terlupa atau tersalah atau dipaksa, tidak batal puasanya.

2) Muntah dengan sengaja, seperti menjolok jarinya ke tekak untuk mengeluarkan sesuatu. Jika termuntah, tidak batal puasanya.

3) Keluar haid atau nifas atau melahirkan anak, walaupun sebentar sebelum terbenam matahari.

4) Onani (mengeluarkan mani dengan sengaja) sama ada dengan tangannya, atau isterinya, atau orang lain, atau memeluk isterinya dengan syahwat. Jika keluar mani hanya kerana terpandang atau terfikir sesuatu yang mengghairahkan, maka hukumnya sama dengan mimpi basah di siang hari, i.e. tidak batal puasanya dan tidak wajib qadak. Begitu juga dengan keluar air mazi, tidak batal puasanya.

5) Memasukkan sesuatu ke dalam perut melalui rongga yang terbuka. Tidak batal memasukkan sesuatu ke dalam perut melalui rongga yg tertutup seperti mata (memakai celak atau menitik ubat pada mata) dan sebagainya. Tidak batal juga memasukkan sesuatu melalui rongga terbuka jika tidak sampai ke dalam perut, seperti mengorek hidung atau mengorek telinga atau menitik ubat telinga.

6) Berniat untuk berbuka puasa, walaupun tidak makan apa-apa.

7) Makan, minum atau berjimak kerana menyangka bahawa telah terbenam matahari (masuk waktu Maghrib), tetapi sebenarnya belum. Atau belum terbit matahari (masuk waktu Subuh), tetapi sebenarnya sudah. Ini adalah pandangan jumhur.

8) Berjimak dengan sengaja.

9) Murtad.

10) Gila, walaupun sebentar.

11) Makan atau minum ketika azan subuh dilaungkan. Ramai menyangka masih boleh makan dan minum ketika azan dilaungkan sehinggalah tamat azan. Ini adalah pandangan yang salah, kerana muazzin tidak disyariatkan untuk azan sehinggalah terbit fajar. Sesiapa yang meneruskan makan atau minum selepas muazzin mula melaungkan azan, maka batal puasanya dan wajib qadak.

Perkara-perkara yang TIDAK Membatalkan Puasa

1) Mandi atau membasahkan kepala untuk menyegarkan badan atau menghilangkan kepanasan dan dahaga. Jika tertelan air secara tidak sengaja, tidak batal puasanya.

2) Memakai celak, walaupun celak tersebut memasuki matanya, kerana mata bukan rongga terbuka yg menyampaikan bahan tersebut ke dalam perut.

3) Berkucupan sesama suami isteri, jika masih boleh mengawal diri daripada melakukan jimak.

4) Semua jenis suntikan, sama ada IV atau IM, kecuali Parenteral Nutrition (Fluid therapy)

5) Berbekam.

6) Berkumur-kumur dan memasukkan air melalui hidung ketika berwudhuk. Tetapi makruh jika dilakukan secara berlebih-lebihan.

7) Merasa makanan ketika memasak atau ketika ingin membeli makanan tersebut, selagi mana makanan tersebut tidak sampai ke halkum.

8) Menghidu bau-bauan.

9) Makan, minum atau berjimak pada malam hari sehinggalah terbit fajar (masuk waktu Subuh). Jika di dalam mulutnya terdapat makanan ketika azan subuh mula dilaungkan, wajib baginya mengeluarkan kembali makanan tersebut. Jika sengaja menelannya, maka batal puasanya. Begitu juga dengan jimak. Wajib berhenti ketika azan subuh mula dilaungkan. Jika dia menyambungnya, batal puasanya.

10) Bangun pagi dalam keadaan berjunub (hadas besar).

11) Menelan air liur yg bersih dan tidak bercapur dengan bahan lain, dengan syarat air liur tersebut masih berada di dalam kawasan tubuh badannya. Jika dikumpul di dalam bekas lalu diminumnya, batal puasanya.

12) Menggosok gigi. Harus melakukannya pada setiap waktu ketika berpuasa. Mengenai pendapat yang memakruhkan menggosok gigi selepas gelincir matahari, hadis tersebut sangatlah lemah (dhaif jiddan).

13) Tablet nitroglycerin dan yang seumpama dengannya yang diletakkan di bawah lidah (sublingual) . Biasanya digunakan untuk merawat sakit jantung.

14) Semua bentuk rawatan yang melibatkan kemasukan benda atau ubat ke dalam faraj seperti vaginal suppository, pencucian (doush), vaginoscope atau tangan doktor yang memeriksa pesakit (digital examination) .

15) Semua bentuk tiub atau bahan yang dimasukkan ke dalam badan melalui saluran kencing seperti urethroscope, barium, pencuci urethra.

16) Tampal gigi atau cuci gigi selagi mana tidak masuk ke dalam halkum (ditelan).

17) Pendermaan darah atau menerima darah.

18) Bantuan oksigen atau gas pelali (anesthetic gases).

19) Semua jenis krim atau minyak yang disapu pada kulit walaupun dibekalkan dengan bahan kimia yang terserap ke dalam kulit.

20) Ambil darah untuk ujian makmal.

21) Semua jenis salur yang dimasukan ke dalam salur darah untuk tujuan x-ray pada jantung atau mana-mana pada anggota badan (catheterization)

22) Laparoscope yang dimasukan ke dalam abdomen untuk tujuan pembedahan.

23) Semua jenis ubat kumur, seperti mouth-rinsing gargle, penyembur mulut selagi mana tidak masuk ke dalam halkum.

24) Uteroscope atau IUCD (pencegah hamil) yang dimasukan ke dalam rahim.

25) Sampel organ yang diambil dari badan seperti hati atau dari mana-mana anggota badan (biopsy).

26) Ubat asthma (inhaler).

27) Semua jenis ubat yang dimasukan melalui anus (dubur).

28) Pembedahan yang menggunakan pelali seluruh badan (general anesthesia) yang dijalankan pada siang hari setelah pesakit mula berpuasa sejak malam sebelum pembedahan.

29) Suntikan untuk merawat sakit buah pinggang melalui artificial kidney (dialysis) samada peritoneal atau hemodialysis

30) Memasukkan gastroscope ke dalam perut dengan syarat tiada sebarang cecair atau apa-apa bahan rawatan disalurkan.

Rujukan:

  • Fiqh As-Sunnah, Sayyid Sabiq
  • At-Taqriirat As-Sadiidah Fi Al-Masaili Al-Mufidah
  • Ibadah Pesakit Terbitan PERUBATAN Mesir

Sumber : via e-mail, Sdr. Mohd Effy Saiful Mohd Fathil, http://effysaiful.blogspot.com/

Qadha’ Puasa Kerana Nifas

Soalan : Saya nak tanya. Sekiranya ada wanita yang mengalami nifas sepanjang bulan Ramadhan selepas melahirkan anak, dan dalam masa yang sama menyusukan anak tersebut. Bagaimana wanita tersebut sepatutnya menggantikan puasa? Saya ada bertanya kan beberapa orang ustaz, ada yang menjawab;

1. Bayar fidyah sahaja, tanpa qadha’, kerana ia termasuk wanita yang menyusukan anak.
2. Qadha’ sahaja, tanpa fidyah, kerana ia termasuk wanita yang nifas dimana haram puasanya.

Wallahualam.

Jawapan :

Haidh dan Nifas adalah uzur syar’ie yang menghalang daripada sah puasa. Jadi, wanita nifas, HARAM puasa, dan TIDAK SAH puasanya. Selepas selesai nifasnya, maka hendaklah qadha’ puasanya tanpa fidyah. Masalah ini adalah ijmak tiada khilaf padanya.

Rujukan:
-Majmuk Nawawi 6/257

Wallahu A’lam.

Sumber : disunting dari Soal Jawab Agama, http://abuumair1.wordpress.com/

Memakai Contact Lens Ketika Puasa

Soalan : Saya ingin tahu hukum puasa apabila kita memakai contact lens. Apakah puasa saya terbatal?

Jawapan :

Di dalam Kitab Fiqh al-‘Ibadat, muka surat 191:

“Puasa orang yang memakai kanta sentuh atau contact lens tidak batal kerana ia tidak masuk ke perut dan bukan kategori makanan atau minuman. Dibolehkan juga menitikkan sebarang ubat mata atau telinga ketika berpuasa walaupun jika ia memasuki halkum. Ia bukan makan atau minum juga tidak termasuk makna makan atau minum.”

Wallahu alam.

Sumber : Soal Jawab Agama ALAF 21, http://agama.zonalaf.com.my

Menyusu Badan & Niat Ganti Puasa

Soalan :

1. Ketika saya ingin memulakan solat, tiba-tiba sahaja anak saya menangis kerana lapar. Perlukah saya mengulangi wuduk?

2. Bagaimanakah cara berniat ganti puasa? Bolehlah ia dibuat dalam bahasa Melayu?

Jawapan :

1. Menyusukan anak tidak termasuk perkara yang membatalkan wuduk seseorang. Setelah selesai menyusukan anak, puan boleh terus mendirikan solat tanpa mengulangi wuduk.

2. Tempat niat adalah dalam hati. Melafazkannya langsung tidak dituntut oleh syarak. Cukuplah sekadar puan beriktikad dalam hati pada malam itu bahawa puan ingin berpuasa esoknya.

Sesungguhnya TUHAN yang kita seru ini Maha Mendengar dan Mengetahui apa yang terdetik dalam hati seseorang. Terpulanglah pada puan untuk menggunakan sebarang bahasa yang mudah dan difahami.

Tiada gunanya berniat dalam bahasa Arab jika puan sendiri pun tidak tahu dan tidak faham maksudnya. Agama ini mudah. Janganlah kita menyusahkan diri dengan sesuatu yang tidak mampu dilakukan.