08 Februari 2010

Mengubati Buruk Sangka

Buruk sangka adalah satu penyakit yang sukar diubati.Ianya sakit yang tidak nampak namun kehadirannya benar-benar dirasai.Jika sakit yang nampak boleh berjumpa dengan doktor bagi merawat sakit tersebut.dengan izin Allah Insya Allah akan sembuh.Namun demikian, bagaimana pula bagi penyakit yang tidak jelas kelihatan ini.Tentunya sukar bukan?

Tempat bagi penyakit ini adalah di dalam maksud saya hati.Justeru itu,fokus rawatan kita adalah hati.Hati yang sihat (baik) akan menzahirkan pekerti yang mulia.Oleh itu, tidak tepat jika kita katakan bahawa apa yang di dalam tidak sama yang di luar.Contoh yang sering dituturkan oleh sebahagian dari kita : Dia tu mulut jer jahat tapi hatinya baik..

Berbalik pula kepada rawatan; sang doktor juga dukun tidak mungkin mampu merawat penyakit hati.Cukup sukar.Cuba tanya diri sendiri mampukah anda merawat penyakit tersebut.Payah bukan? Disini kita seharusnya sedari dalam hal ini, kuasa kita adalah amat terbatas.Oleh itu, kita benar-benar mengharap kepada sentuhan pencipta hati.DIA yang mencipta hati sudah tentulah DIA mampu merawatnya.Jadi untuk merawatnya mari kita sama-sama mengikuti 5 perkara tersebut:

1. Membina akidah yang sihat
Merawat sakitnya hati, hendaklah dimulakan dengan pembinaan akidah.Hakikat ini telahpun kita maklumi.Ini berdasarkan Sirah Rasulullah s.a.w.ketikamana berhijrah dari Mekah menuju ke Madinah,Baginda telahpun mendahului pembinaan masjid.Di sini menjelaskan kepada kita betapa pembinaan akidah bermula dari baikpulih rohani.Justeru itu, hati yang baik datangnya dari rohani yang cemerlang.Yang sentiasa hatinya dibimbing oleh Allah dalam setiap masa dan keadaan.

2. Meninggalkan kemaksiatan dan kejahatan
Kita sedar bahawa hati yang rosak adalah disebabkan banyaknya perlakuan maksiat dan kejahatan.Setiap kali melakukan kerosakan hati akan ditandai dengan satu bintik hitam.Jika kerosakan tersebut sering dan acapkali dilakukan, maka lama kelamaan bintik hitam tersebut semakin banyak.Akhirnya ianya akan menutupi sebahagian besar hati.Hati yang telah diselaputi (bintik hitam) sudah tentu sukar menerima kebaikan.

Firman Allah yang bermaksud :

"Dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya),nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (daripada segala perkara yang menyusahkannya).Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya dan (ingatlah), sesiapa yang berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakkiNya.Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu".
(Surah Al-Talaq 65:2-3)

3. Menjuhkan diri dari berbisik-bisik
Tahukah kita perbuatan berbisik-bisik itu adalah salah satu dari senjata syaitan?Dengan berbisik-bisik lahirlah amarah.Amarah tempatnya di hati.Jika hati tidak dipandu dengan tuntutan syariat, tidak mustahil dua makhluk Allah ini akan saling bermusuhan. Natijahnya berlakulah pertengkaran,pergaduhan sehingga sanggup berbunuh-bunuhan.

Firman Allah yang bermaksud :

"Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertakwa dan orang-orang yang berbuat kebaikan".
(Surah An-Nahl 16: 128)

4. Menjauhi perkara syubhat

Islam benar-benar menjaga hak individu.Ini terbukti berdasarkan tegahan Allah dari melakukan perkara-perkara yang berbentuk syubhat.Jika kita selidiki syubhat adalah satu perilaku yang tidak jelas tetapi kehadirannya boleh dirasai.Setiap yang samar,tidak jelas adalah perkara yang sudah tentunya sukar untuk diubati.Justeru itu,ubat yang paling mujarab adalah datang dari pencipta hati.

5. Mengikuti petunjuk Islam
Hati akan menjadi tenang,aman dan tenteram bilamana berada dalam landasan Islam.Ini kerana Allah telah memberi jaminan akan memelihara siapa sahaja yang taat dan patuh kepada setiap arahanNya.

Firman Allah yang maksudnya:

"Dan orang-orang yang berjihad di jalan kami,maka Kami bener-benar akan menunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami".

(Surah Al-Ankabut 29:69)

Manakala dalam satu hadis Qudsi telah diriwayatkan oleh Bukhari dengan maksudnya :

"Dan hambaKu yang selalu mendekatkan diri kepadaKu dengan ibadat-ibadat sunnah sehingga Aku mencintainya.Jika telah mencintainya,Aku menjadi pendengarannya kala ia mendengar: Aku menjadi penglihatannya kala ia melihat: Aku menjadi tangannya kala ia bekerja dengan tangannya, dan Aku menjadi kakinya kala ia berjalan dengan kakinya.Jika ia meminta sesuatu,Aku akan memberikannya.Jika ia memohon perlindungan, Aku akan memberikan perlindungan".

Penutup

Berdasarkan 5 perkara sepertimana di atas, tidak ada cara mudah bagi merawat penyakit hati melainkan kembali secara total kepada cara hidup Islam.Seterusnya berusaha sedaya mungkin untuk menjadi manusia yang paling cemerlang di sisi Allah s.w.t.Semoga kita berjaya di dunia juga di akhirat.Amin..