06 Oktober 2008

Wajarkah Perempuan Bekerja?

1. Pengenalan

Sejak dahulu lagi perempuan bekerja di rumah dan dia bekerja di luar rumah di samping suaminya. Suatu contoh terbaik yang berlaku di dalam rumah Nabi S.A.W. tentang Fatimah R.A.terhadap kerja-kerjanya menggerakkan alat pengisar, dan tanda-tanda di tengkuknya kerana memikul kantung air. Sastera Arabpun ada menceritakan sebuah kisah yang menunjukkan kepada kita betapa banyak kaum perempuan yang bekerja membusar kapas dan menenun. Kerja-kerja itu pula merupakan punca pendapatan bagi keluarga.

Al Wadhin bin Ata’ berkata : Abu Ja’afar al Mansur sewaktu menjadi khalifah telah memintaku menziarahinya. Perhubungan persahabatan di antara kami telah terjalin sejak sebelum dia menjadi khalifah lagi. Akupun berrangkat menuju ke Baghdad dan pada suatu hari kami duduk berdua-duaan sahaja. Diapun bertanya kepada ku : " Abu Abdullah, berapa banyak harta mu " ? Aku menjawab : " Sebagaimana yang diketahui oleh Amirul Mukminin sahaja ".Dia bertanya lagi : " Berapa ramai tanggungjawab mu "? Aku menjawab : " Tiga orang anak perempuan, seorang isteri dan seorang khadam ".Dia berkata kepada ku : " Ada empat orang perempuan di rumah mu "? Aku menjawab : " Ya". Al Mansur menyebutnya berulang kali sehingga aku sangka dia akan memberikan aku bantuan wang. Kemudian dia mengangkat kepalanya dan berkata : " Engkaulah orang Arab yang paling mewah sekali. Empat orang tukang tenun mendatangkan kekayaan di rumah mu ".

Perempuan juga bekerja di luar rumah di samping suaminya. Dia turut bersama-sama menggembala kambing , mencangkul dan menggali tanah serta berulang - alik ke pasar. Semua ini bukanlah topik perbicaraan kita sekarang . Selagi pekerjaan perempuan itu berada di sekitar kawasan rumahnya atau kerana menolong suaminya bekerja. Maka pekerjaannya itu adalah perkara biasa, malah kadang-kadang merupakan satu keperluan. Dan ini tidak menimbulkan suatu kemusykilan yang patut difikirkan. Tetapi perbahasan kita adalah perempuan yang keluar sebagai pekerja iaitu pekerjaan yang dilakukan oleh gadis-gadis dan perempuan di zaman ini.

2. Taraf Pendidikan dan Tingkatan Akademik Perempuan

Nyatalah kepada kita bahawa kebanyakkan pekerjaan yang mendapat perhatian perempuan kini adalah berkaitan dengan pendidikannya dan tingkatan akademik yang membolehkannya menjalankan kerja dan mendapatkan sesuatu jawatan yang baik. Kita tidak menafikan bahawa didikan ke atas kaum perempuan adalah sangat penting. Sejak permulaan Islam lagi , kaum perempuan amat mementingkan bahagian mereka dalam ilmu pengetahuan.

Imam Bukhari telah meriwayatkan bahawa beberapa orang perempuan berkata kepada Nabi S.A.W. : " Kaum lelaki telah mengatasi kami belajar darimu , lapangkanlah dirimu satu hari untuk kami ". Rasulullah S.A.W. pun menentukan satu hari untuk bertemu dan mengajar mereka. Hasilnya generasi Islam yang pertama itu , terutama sekali kaum perempuan Ansar mempunyai sekumpulan perempuan yang merupakan golongan paling beruntung melalui kelas-kelas pembelajaran itu.

Pada zaman kini , kaum perempuan telah mencapai banyak kejayaan di dalam pelbagai lapangan pengajian. Malah diberikan pula beberapa kemudahan , yang sebelumnya payah diperolehi. Mereka memasuki gedung-gedung ilmu pengetahuan , universiti-universiti dan makmal-makmal penyelidikan serta beroleh kejayaan yang gemilang. Dalam menuntut ilmu , Islam tidak menggesa kaum lelaki sahaja, tetapi memerintahkan seluruhnya. Kaum perempuan juga mempunyai tanggungngan yang sama sebagaimana diberikan kepada kaum lelaki dari segi akidah dan ibadat yang menyebabkan mereka mesti tahu bagaimana menjadikan hidupnya itu selari dengan tuntutan Islam.

Pada umumnya , pendidikan kaum perempuan itu adalah suatu perkara yang patut diambil berat dan digesa oleh Islam supaya meliputi pelbagai jenis pelajaran. Pemmpin-pemimpin Islam patut mengambil inisiatif terhadap pendidikan anak-anak perempuan mereka dan mengesa supaya memberikan kaum perempuan bahagian terbesar dari pelajaran dan ilmu pengetahuan.

3. Kewajaran Perempuan Bekerja

Melalui keterangan di atas timbul satu persoalan yang ada kaitan rapat dengan kajian kita ini iaitu : Adakah tujuan ilmu pengatahuan itu supaya kaum perempuan bekerja dan mengisi mana-mana jawatan untuk mencurahkan ilmu pengetahuannya lantaran dapat memberi faedah dan menerima faedahnya dalam lapangan ini.?

Jawaban yang tegas dan tepat ialah tidak. Di sana tidak ada satu ilmu pengetahuanpun yang memasti dan menjanjikan manusia memegang jawatannya , kecuali apabila maslahat umum memerlukan. Ilmu pengetahuan dan jawatan kerja adalah dua perkara yang berlainan. Jika kita berdiri dan beratur menantikan jawatan-jawatan kerja, itu bukanlah termasuk di dalam kewajiban ilmu pengetahuan.

Sekiranya masyarakat memerlukan pekerjaan kaum perempuan , maka barulah mereka bekerja. Sekiranya dia seorang doktor dan masyarakat memerlukan doktor-doktor perempuan , atau dia seorang guru dan masyarakat memerlukan guru-guru perempuan , maka pekerjaan perempuan ketika itu adalah wajib samasekali. Malahan Islam mewajibkannya berjihad sekiranya negeri diserang oleh musuh Islam , dan jika pada ketika itu dia dikehendaki keluar menggabungkan diri di dalam perjuangan sekadar yang terdaya olehnya ; tanpa memerlukan keizinan suaminya atau bapanya maka dia hendaklah keluar menyahut seruan Islam itu. Allah berfirman :
انفروا خفافا وثقالا وجاهدوا بأموالكم وانفسكم فى سبيل الله
" Berangkatlah dengan merasa ringan atau berat serta berjuanglah dengan hartamu dan dirimu di jalan Allah "
( Surah at Taubah : 41 )
Dunia sekarang ini sedang melalui satu peringkat ekonomi yang tiada membolehkan kebanyakan pemuda-pemuda bersendirian mencari rezki dalam mendirikan rumahtangga . Dengan sebab itu kebanyakan pemuda sangat-sangat berharap untuk mendapatkan seorang pemudi yang bekerjaya agar dengan gaji si isteri nanti dapatlah mereka bersama-sama menanggung bebanan rumahtangga itu.
Sekarang kita tiba kapada suatu pertanyaan yang paling penting di dalam perbahasan ini, iaitu yang berkaitan dengan pekerjaan perempuan di luar rumah tanpa diperlukan oleh masyarakat dan tanpa diperlukan oleh dirinya sendiri atau tanpa diperlukan oleh suaminya. Kita bertanya : Adakah harus perempuan itu bekerja dalam keadaan sebegini ?
Jawabnya ialah kalau pekerjaan itu akan menyebabkan cuai dalam menjalankan hak suaminya, atau hak anak-anaknya, atau membawa kepada pergaulan yang tidak sopan , maka pekerjaannya itu tidak diterima syara’ selagimana pekerjaan itu tiada mempunyai apa-apa keperluan tertentu atau keperluan am.
Ramai kedapatan kaum perempuan yang bekerja sesudah berumahtangga bukan kerana masyarakat berhajat kepada pekerjaannya itu, dan bukan pula kerana kehidupan keluarga memerlukannya tetapi semata-mata kerana pekerjaan itu sahaja disamping ingin keluar dari rumah serta melibatkan diri di tengah-tengah kesibujan hidup ini. Mereka berhujjah di antara tujuannya ialah untuk bergerak agar badan tiada gemuk. Sebab-sebab seperti ini tidak mengharuskan kerja terutama sekali pada zaman kini dimana pekerjaan itu merupakan suatu pertarungan dan juga tanggungjawab yang harus dipikul oleh perempuan sedangkan mereka tidak seharusnya bekerja. Dimasa yang sama tindakan mereka itu telah menutup ruang-ruang pekerjaan oleh kaum lelaki dari tempat-tempat kerja yang kosong itu. Yang demikian ini samalah seperti menutup keperluan orang yang berhajat. Tentang gerak badan supaya tidak menggemukkan itu , sekarang ini banyak cara yang boleh dilakukan oleh kaum perempuan yang boleh juga memberi faedah kepada masyarakat umpamanya menggabungkan diri dengan pentadbiran badan-badan kebajikan, pemeliharaan anak-anak yatim dan pelbagai kegiatan lagi.

Hari ini pekerjaan adalah berat dan payah serta memerlukan waktu-waktu yang awal untuk keluar rumah dan menggunakan apa sahaj jenis kenaikan sewaktu pagi dan balik. Apabila balik ke rumah mereka akan merasa letih dan lesu kerana penat bekerja pada sebelah siangnya di samping menanggung kepayahan sewaktu dalam perjalanan. Segala-galanya ini akan dicerminkannya di rumah. Suami juga akan pulang dari kerjanya dengan penuh kelesuan serta mengharapkan si isteri yang akan menyambutnya dengan baik atau sekurang-kurangnya meringankan bebannya itu tetapi sebaliknya berlaku. Dengan demikian tenggelamlah anak-anak di tengah-tengah kekecohan keduanya.

Banyak kedapatan kaum perempuan mula-mula bekerja ketika mereka benar-benar memerlukannya. Kemudian setelah berkahwin dengan lelaki yang berada dan mampu menanggung segala-galanya namun si isteri it uterus juga dengan pekerjaannya kerana menyangka bahawa pekerjaan itu dapat memperkuat serta memperkukuhkan kedudukannya di dalam hidup ini dan menjamin hari depannya sebab dia boleh bergantung pada dirinya sendiri.

4. Penutup

Ringkasnya dari apa yang telah lalu perempuan mestilah belajar dan terus belajar , dan ilmu pengetahuan tiadalah boleh dikaitkan dengan pekerjaan. Ilmu pengetahuan mestilah digunakan untuk meninggikan taraf. Pekerjaan perempuan tiada dikehendakki melainkan bila ada keperluan yang benar-benar kepadanya . Dengan pekerjaan , perempuan lebih kerap mendapat kerugian daripada keuntungan yang diperolehinya.




Rujukan

Dr. Mustofa Al-Khin et.al 2005. Kitab Fikah Mazhab Syafie.
Kuala Lumpur : Pustaka Salam Sdn Bhd.

Prof. Dr. Ahmad Shalaby 1982. Kehidupan Sosial Dalam Pemikiran Islam.
Singapura : Pustaka Nasional Pte Ltd.

Prof. Madya Dr. Mohamad Som Bin Sujimon et.al 2006. Fikah keluargaan.
Pusat Penyelidikan UIAM.

Tiada ulasan: