1. Pengenalan
Tidak ada perkataan yang mampu menghuraikan tentang kesempurnaan al-Quran.Dari segenap bidang kehidupan, tidak ada sesuatu pun yang terlepas dari perbahasan dan perinciannya.Ianya bersifat menyeluruh dan merentasi zaman. Bahasanya yang tinggi dan memukau, mampu menundukkan siapa sahaja yang mencabarnya.Namun keegoan sahaja yang menghindarkan diri daripada beriman kepada Allah SWT.Hanya sebahagian sahaja yang Allah buka pintu hatinya menerima hidayah lantas beriman kepada Allah SWT.

Sejarah lampau telah membuktikan kepada kita betapa Bangsa Arab yang sebelumnya hidup tanpa ada satu peraturan, berada dalam keadaan kegelapan dan kebodohan. Namun segalanya mula berubah setelah penurunan al-Quran.Dalam tempoh 23 tahun al-Quran telah berjaya menukar kepada satu bangsa yang dihormati dan disegani.Serta telah berada dipuncak kejayaan di dunia juga di akhirat.
2. Kelebihan al-Quran Berbanding Dengan Kitab Samawi
Telah dinyatakan bahawa terlalu banyak kelebihan al-Quran.Tidak terhurai melalui catatan mahupun perkataan. Kesempurnaannya mencakupi segenap lapangan kehidupan.Oleh kerana itu, ia menjadi mukjizat junjungan besar kita,Nabi Muhammad SAW. Bahkan Allah telah memberi jaminan akan menjaga kemurnian dan kesucian al-Quran hingga akhir zaman.
Maksudnya :
"Katakanlah sesungguhnya Kami telah menurunkan al-Quran yang merupa peringatan dan sesungguhnya Kamilah juga yang akan memeliharanya".
(Surah al-Hijr:9)
Jadi, dengan sebab banyak kelebihan al-Quran di samping janji Allah : akan menjaga al-Quran sampai bila-bila sudah tentunya memberi kesan yang cukup besar bagi individu yang membaca dan mengamalkan setiap inci al-Quran.Bagi mengetahuinya dengan lebih jelas marilah sama-sama kita perhatikan di antara beberapa kelebihan al-Quran berbanding dengan Kitab Samawi.
2.1 Al-Quran Diturunkan Oleh Allah SWT Secara Beransur-ansur.
Berdasarkan peringkat penurunan al-Quran secara beransur-ansur (pada peringkat yang ketiga) sedikit sebanyak telah menjelaskan bahawa keadaan tersebut adalah untuk menyesuaikannya dengan peristiwa-peristiwa yang berkaitan dengan agama.Umpama permasalahan hukum menuduh perempuan yang baik, larangan meminum arak, mencuri dan sebagainya. Jadi masyarakat Islam pada ketika itu lebih memahami. Ia juga berfungsi sebagai membetulkan kesalahan yang dilakukan oleh masyarakat Islam agar sedar, segera bertaubat dan jangan lagi mengulanginya.
Maksudnya :
"Diturunkan oleh Roh Suci (Jibril AS) kedalam hati Engkau (ya Muhammad) supaya Engkau beri peringatan".
( Surah as-Syuarak : 194)
Penurunannya secara beransur-ansur juga adalah untuk menjawab persoalan yang dikemukakan.Setiap persoalan dan jawapan yang terdapat di dalam al-Quran sering melengkapi dari satu ayat dengan ayat yang lain sesuai digunakan sepanjang zaman.Al-Quran hanya selesai beberapa ketika sebelum wafatnya baginda dalam dua masa yang berbeza iaitu sebelum hijrah dan sesudah hijrah.[1]
Sesungguhnya pastilah al-Quran itu sebagai kalam Allah yang telah terbukti menjaga dan mengawal masyarakat Islam dari berlakunya kerosakan sehingga membolehkan manusia hidup dalam keadaan aman, tenteram serta mencapai kemajuan hidup di dunia juga di akhirat.
Justeru itu, tidakkah kita terfikir seandainya Allah turunkan setiap amaran dan tegahan itu sekaligus kepada masyarakat yang rata-ratanya kucar-kacir. Tanpa ada satu peraturan yang bersifat menjaga,mendidik dan membimbing.Sudah tentunya sukar.Penuh dengan liku-liku jalan yang rumit dan payah.Maha suci Allah, yang maha mengetahui kesusahan hamba-hambanya.
Maksudnya :
"Al-Quran ini kami turunkan secara beransur-ansur supaya engkau bacakan kepada manusia dengan cara perlahan-lahan dan Kami turunkan secara sedikit-sedikit."
(Surah Al-Israq:106)
2.2 Al-Quran Memansuhkan Segala Syariat Kitab-kitab Samawi.
Asalnya semua kitab samawi ini mengajak masyarakat Islam agar menyembah Allah Yang Maha Esa.Di antara satu kitab dengan yang lain saling berkaitan (mengajak mentauhidkan Allah) Namun fungsinya mula hilang apabila para rahib dan paderi mula menyeleweng.[2]
Keadaan tersebut mula hilang bilamana Allah turunkan al-Quran sebagai panduan dan ikutan terhadap semua makhluk melalui Nabi akhir zaman iaitu Nabi Muhammad SAW.Maka segala syariat yang dibawa oleh nabi-nabi yang sebelumnya melalui kitab-kitab samawi, terhapus sama sekali.Ini bermakna al-Quran memansuhkan Kitab-kitab samawi yang sebelumnya.
Maksudnya :
"Mana-mana ayat yang Kami mansuhkan, atau Kami lupakan dia, Kami gantikan dengan yang lebih baik daripadanya atau yang sebanding dengannya.Tidakkah kamu mengetahui bahawa sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu".
(Surah al-Baqarah:106)
2.3 Syariat al-Quran Diturunkan Untuk Semua Makhluk.
Al-Quran yang telah diturunkan oleh Allah kepada manusia adalah merupakan satu pemberian yang istimewa hingga ke akhir hayat. Bermula dari Luh Mahfuz sampai ke dalam dada Rasulullah SAW.Kemudian bermula dari Rasulullah sampai keseluruh manusia dan jin.Tanpa dikurang mahupun ditambah syariatnya.
Maksudnya :
"Dan Kami turunkan kepada engkau peringatan (al-Quran) supaya engkau terangkan kepada manusia apa yang telah diturunkan kepada mereka semoga mereka mahu memikirkannya".
(Surah an-Nahl : 44)
Al-Quran mengandungi ilmu yang amat tinggi dan luas.Masih banyak lagi ilmu yang perlu digali dan dicari.Amatlah beruntung bagi sesiapa yang mengambil sebanyak mungkin ilmu yang terkandung di dalamnya.Oleh itu amatllah disarankan bagi kita orang Ajam agar membaca al-Quran dengan memahami makna yang terkandung di dalamnya.
2.4 Kitab al-Quran Akan Kekal Dipelihara Allah.
Al-Quran adalah kalam Allah sepertimana manusia juga mempunyai kalamnya tersendiri. Kalam manusia terhasil dari dua gabungan aspek iaitu : naluri manusia dan fizikal manusia (anggota bercakap) justeru itu terdapat pelbagai kelemahan dan kesalahan jika hendak dibandingkan dengan kalam Allah.
Sehubungan dengan itu juga Allah telah berjanji akan menjaga kitab al-Quran hingga kiamat.Tidak ada satu kitab sebelumnya yang Allah janjikan dengan sedemikian.Oleh kerana itu berlakulah pindaan demi pindaan yang datang dari tangan-tangan manusia yang berkepentingan.Para rahib dan paderi memainkan peranan dengan mengubah beberapa ayat dari kitab samawi.[3]

2.5 Kitab al-Quran Diberikan Kemuliaan dan Keistimewaan.
Allah mengesa masyarakat Islam agar berusaha mendalami ilmu pengetahuan kerana dengan ilmulah kita dapat menyuluh kegelapan.Bahkan ada sebahagian ulama yang berpendapat ayat yang pertama diturunkan adalah ayat dari Surah al-Alaq yang menyeru kita mencari ilmu dengan cara membaca. Ilmu juga dapat membimbing kita mengkaji tentang kemuliaan dan keistimewaan al-Quran.[4]
Maksudnya :
"Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu yang menciptakan,Dia telah menciptakan manusia daripada segumpal darah.Bacalah, dan Tuhanmulah yang maha pemurah,yang mengajar (manusia) dengan perantaraan kalam, Dia mengajar kepada manusia apa yang tidak diketahuinya".
(Surah Al-Alaq : 4-5)
Al-Quran juga menggalakkan kita agar sentiasa berusaha mencari rezki yang halal yang tidak berlawanan dengan syariat Islam.Islam menuntut berusaha dengan gigih tanpa kenal penat lelah bagi mencapai apa yang dihajati dan diingini mencakupi dalam semua bidang kehidupan.Tidak ada satu kitabpun selain al-Quran yang amat perihatin yang menunjuk ajar kita supaya berusaha sehingga jaya selain dari al-Quran.
2.6 Kitab al-Quran Menjadi Mukjizat Kepada Nabi Muhammad SAW
Al-Quran yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW adalah merupakan pemberian yang teristimewa.Ia merupakan khabar gembira dan amaran yang menakutkan yang diajar melalui lidah Rasul-Nya kepada sekelian makhluknya.
Al-Quran adalah wahyu, diturunkan oleh Allah melalui perantaraan Jibril AS kepada Rasulullah. Wahyu yang telah diterima kemudian disampaikan oleh baginda kepada umatnya sehingga sampai kepada kita. Al-Quran menjadi sumber kekuatan atau mukjizat baginda di dalam menangkis segala macam mehnah dakwah.Nabi Muhammad SAW tidak pernah bercakap melainkan semuanya adalah wahyu dari Allah SWT.
Maksudnya :
" Tidaklah dia bercakap menurut hawa nafsunya.Sesungguhnya ia (al-Quran) tidak lain mellainkan wahyu yang diwahyukan kepadanya".
(Surah an-Najm : 3-4)
Al-Quran adalah merupakan kalamullah dan sudah tentu berfungsi untuk memberitahu,yang kaya dengan segala macam kemuliaan dan keistimewaan. Penggunaannya adalah amat sesuai sebagai tempat rujukan kita. Justeru itu, ketinggiannya tidak dapat ditandingi dengan kehebatan manusia.Dengan ini al-Quran adalah merupakan mukjizat yang ditinggalkan Nabi Muhammad SAW.kepada kita.
3. Adab Berinteraksi Dengan al-Quran
Berdasarkan ketinggian dan kemuliaan al-Quran maka seharusnyalah bagi kita,mempelajari dan seterusnya mengamalkan adab-adab berinteraksi dengan al-Quran.Untuk mengetahuinya marilah sama-sama kita bincangkan beberapa adab membaca al-Quran.
3.1 Membaca al-Quran Dalam Keadaan Berwuduk
Allah telahpun menetapkan dalam mengerjakan ibadah kepadaNya, hendaklah dimulakaan dengan berwuduk.Ianya sebagai salah satu cara penyucian diri sama ada kekotoran yang zahir ataupun kekotoran yang tidak nampak.
Seperti dinyatakan di atas bahawa al-Quran itu adalah kalamullah: yang terdapat padanya pelbagai kelebihan dan kemuliaan.Justeru itu amatlah dituntut kepada kita bilamana hendak membacanya, agar berada dalam keadaan bersih.Ianya seolah-olah kita berada di hadapan Allah SWT,dengan keadaan kita mengulangi kembali kata-kata Allah SWT itu.
3.2 Membersihkan Mulut dan Bersugi Sebelum Membaca al-Quran
Rasulullah telah mengingatkan kita, dalam mengerjakan solat sekiranya tidak menyukarkan ummat baginda diwajibkan bersugi atau membersihkan mulut setiap kali hendak mengerjakannya.Bahkan bagi sesiapa yang memakan makanan yang boleh menimbulkan bauan yang kurang menyenangkan dan ia tidak membersihkan mulut.Seterusnya berada dalam saf bagi mengerjakan solat.Maka ia dihukumkan sebagai makruh kerana mengganggu kekhusyukkan dalam solat.Ia bermaksud tuntutan untuk bersugi itu adalah amalan mulia.Apatah lagi bilamana kita mengadap Rabbul Jalil.
Apa yang tersebut di atas itu adalah dalam hal solat (dalam solatpun kita tilawah al-Quran dan kita tidak sedari).Maka hal yang sama boleh dikiaskan dengan tuntutan agar bersugi atau membersihkan mulut bilamana kita akan membaca ayat-ayat suci al-Quran.Tapi kemungkinan ada yang berhujah mengapa perlu kita bersugi atau membersihkan mulut kerana kita bukan berada dalam saf dan berjamaah?Dakwaan tersebut ada asasnya. Namun demikian tidakkah kita terfikir bahawa Islam cintakan kebersihan? Sedangkan kita sendiripun selesa bila berhadapan dengan orang yang bersih.Mengapa kita bilamana dengan Allah kita terlalu berkira sedangkan sesama makhluk sebaliknya atau bagaimanakah nasib kita, seandainya Allah terlalu berkira?
3.3 Membaca Di tempat Yang Bersih
Bersesuaian dengan ketinggian dan kehebatannya,maka tempat untuk dibacakan ayat-ayat suci al-Quran juga seharusnya diambil kira.Kita tidaklah boleh menyamakan tempat bacaanya seperti kita membaca novel,buku sejarah dan seumpamanya.Sebarang tempat boleh kita duduk asalkan selesa dan santai.
Keadaan tersebut berlainan sekali dengan tempat untuk kita tilawah al-Quran.Sebabnya mudah : kerana kita akan membaca ayat-ayat yang mulia, yang difirmankan oleh Allah.Oleh itu tempat yang selesa dan sesuai disamping pemilihan tempat yang baik dan bersih amatlah diutamakan.
Ajaran Islam sendiripun sukakan kepada tempat yang bersih.Bahkan ia menjadi satu tuntutan agar mencari tempat yang bersih sama ada dalam hal muamalat,munakahat dan seumpamanya.Jauhkan tempat yang kotor dan menjijikkan kerana tempat yang kotor menjadi tempat kegemaran syaitan.
3.4 Membaca Dengan Tenang dan Penuh Hormat
Adalah menjadi satu adab yang baik, ketikamana membaca al-Quran hendaklah dibacakan dengan keadaan yang tenang.Tenang bermaksud tidak tergopoh-gopoh untuk menghabiskan bacaan. Ianya seumpama ketenangan jiwa berada di bawah sepohon pokok yang rimbun di tepi danau yang cantik memukau.Mata sudah tentunya tidak mahu melepaskan sama sekali setiap inci panorama yang indah itu.
Al-Quran itu juga adalah indah dan mempesona.Setiap kalimah mempunyai nilaian bahasa yang cukup indah dan tinggi.Hanya mereka yang faham dan mengambil sebanyak mungkin peluang yang terhidang di hadapan mata sahaja yang tahu hakikat keadaannya.Oleh itu membaca dengan keadaan gopoh tidak tenang menghilangkan keindahan kalimah itu sendiri.
Membaca al-Quran dengan tenang juga bermaksud memberikan kehormatan kepada empunya al-Quran.Pembaca al-Quran dikatakan sebagai tidak beradab seandainya membaca dengan keadaan gopoh atau semborono.Seumpamalah jika individu yang miskin adab kesopanan.
3.5 Memulakan Dengan Tauz dan Basmalah
Menjadi satu tuntutan bagi para qari, sekiranya ingin memulakan bacaan al-Quran hendaklah dimulakan dengan tauz iaitu أعوذ بالله من الشيطان الرجيم atau basmalahبسم الله الرحمن الرحيم .Ini adalah kerana kedua-dua ayat ini mengandungi makna yang cukup besar.Ianya satu pengakuan hamba Allah yang hanya memohon perlindungan Allah dari kejahatan syaitan yang direjam.Disamping meletakkan Allah pada permulaan ayat sebagai satu permohonan bagi mendapat keberkatan untuk ayat-ayat selanjutnya.
Maksudnya :
" Apabila kamu membaca al-Quran hendaklah kamu meminta perlindungan kepada Allah dari syaitan yang direjam".
(Surah an-Nahl:98)
Selaku orang Islam kita meyakini bahawa dalam menghidupkan sunnah Rasulullah, kita tidak pernah sunyi dari godaan syaitan.Kedurjanaan syaitan berterusan dan tidak pernah alpa dalam mengodam manusia walau sesaatpun.Sekiranya hati jauh dari mengingati Allah maka syaitan akan mengambil tempat di hati kita.Justeru itu bagi menghindarkannya, kita dianjurkan agar memulakan setiap amalan dengan tauz atau basmalah.Begitu juga dalam membaca al-Quran.
3.6 Memerhati dan Cuba Memahami Ayat-ayat Yang Dibaca
Yusuf al-Qardhawi ada menyatakan bahawa kesan dari membaca al-Quran dapat dijelmakan dua sifat sahaja, sama ada sifat orang kafir atau sifat orang beriman.Keadaan orang-orang kafir itu telah dinyatakan sifatnya di dalam al-Quran.
Maksudnya :
" Dan mereka berkata, hati kami telah tertutup dari apa yang engkau seru kami kepada-Nya, dan telinga kami sudah tersumbat, dan di antara kami dan engkau ada dinding, kerana itu lakukanlah (sesuai kehendak mu), sesungguhnya kami akan melakukan (sesuai kehendak kami)".
Surah Fussilat : 5)
Menurut Mohd Dhany Mohamad Sarip: Di dalam ayat ini 'al-Kinnah" telah ditafsirkan sebagai kunci yang menghalang seseorang untuk memahami al-Quran.Contohnya tidak berusaha untuk memahami dan mengambil iktibar dari ayat-ayat Allah SWT.Manakala "waqrun" ditarifkan sebagai penyumbat yang menghalang telinga dari mendengar al-Quran dan "hijab" pula sesuatu yang menghalang pandangan dari memahami intipati al-Quran.Justeru itu pembaca al-Quran hendaklah berusaha untuk memahami kalamullah agar tergolong dalam kelompok orang-orang yang beriman.
Pembaca al-Quran juga dituntut supaya menangis.Menangis yang dimaksudkan di sini ialah tangisan yang tercetus kesan dari penghayatan al-Quran.Maka kita akan sedar betapa lemahnya kita dalam melunaskan janji-janji kita dengan Allah SWT.Namun seandainya kita tidak dapat menangis, berusahalah juga sedaya mungkin untuk mengalirkan air mata.Demi mengelakkan sebesar-besar musibah ke atas dirinya iaitu gagal mengahayati firman Allah SWT itu.Justeru itu, untuk mendapatkan kesannya lebih mendalam, pembaca al-Quran dianjurkan merujuk pada terjemahannya.
3.7 Menghayati Makna-makna Ayat
Syed Kutub ada menjelaskan berkenaan sifat para sahabat yang paling menyerlah dan berusaha untuk cuba memahami maksud ayat-ayat al-Quran seterusnya mengamalkannya di dalam kehidupan seharian tanpa bertangguh lagi.
Keadaan tersebut boleh kita perhatikan melalui kisah Abu Bakar as-Siddiq dan Umar al-Khatab, ketika berada di sisi Rasulullah SAW telah ditanya oleh suatu kabilah yang sedang bertengkar; siapakah yang paling layak dikalangan mereka untuk dilantik menjadi ketua? Abu Bakar menjawab sifulan dan Umar pula menjawab sifulan. Lalu kedua-duanya bertekak dengan suara yang keras.Sehingga turun ayat dua dari Surah al-Hujrat (larangan meninggikan suara mengatasi suara nabi). Setelah turunnya ayat tersebut mereka mulai tersedar.Lantas mengalirkan air mata penyesalan dan bersegera berbicara dengan lemah lembut apabila berhadapan dengan nabi.
Maksudnya :
" Dan apabila (al-Quran) dibacakan kepada mereka, mereka berkata,kami beriman kepadanya, sesungguhnya (al-Quran) itu adalah suatu kebenaran dari Tuhan kami.Sungguh, sebelumnya kami adalah muslim".
(Surah al-Qasas:53)
Ayat ini menjelaskan kepada kita, sifat orang-orang yang beriman.Mereka menghayati intipati dari ayat ini.Seterusnya berusaha menambah iman kepada Allah SWT.Lantaran itu, apabila al-Quran dibacakan kepada mereka.Mereka cuba untuk faham seterusnya mengamalkan setiap pengajaran di dalamnya.Menurut Asma' bt.Abu Bakar, para sahabat Rasulullah SAW apabila mendengar bacaan al-Quran, bergenanglah air mata dan bergetarlah kulit mereka lantaran takutkan azab siksaan dari Allah SWT.
3.8 Mengelokkan Suara Semasa Membaca al-Quran
Mengelokkan suara juga adalah merupakan antara adab-adab membaca al-Quran yang seharusnya kita amalkan khususnya bagi mereka yang sememangnya Allah anugerahkan bersuara merdu.Bagi yang tidak punyai suara yang merdu cukuplah membacanya dengan tartil. Mengelokkan suara disini, juga bermaksud membaca dengan bertajwid dan tartil.
Maksudnya :
" Bacalah al-Quran dengan bertartil (memelihara hukum tajwid)".
(Surah al-Muzammil : 4)
3.9 Menzahirkan Suara Semasa Membaca al-Quran
Menzahirkan suara ketika membaca al-Quran bermaksud: membaca dengan bersuara sama ada dengan kadar antara dengar atau kuat.Bukannya membaca di dalam hati.Perlakuan membaca al-Quran dalam hati ditegah (bukanlah secara qat'i) kerana bacaannya hendaklah dizahirkan bagi diperbetulkan segala kesalahan pada tahap paling sempurna disamping dapat memberi petunjuk dan bimbingan kepada para pendengar.Perlu juga dijelaskan di sini bacaan secara kuat bukanlah sampai kepada melampau-lampau sehinggakan mengganggu orang lain yang sedang beribadah cukuplah sekadar suara yang sederhana sahaja.Serta bukannya menunjuk-nunjuk.
3.10 Membaca Dengan Memandang Mushaf al-Quran
Termasuk diantara adab-adab membaca al-Quran adalah memandang kepadanya.Tumpuan yang diberikan dengan cara memandang pada ayat-ayat suci al-Quran adalah salah satu cara pengiktirafan dengan menaruh rasa hormat sanjungan pembaca kepada Allah SWT. Bagaimanakah perasaan kita seandainya kita bercakap dengan kawan yang tidak memandang kepada kita? keadaan matanya meliar memandang ke arah lain.Sudah tentulah kita merasa kecil hati dan marah.Demikianlah halnya dengan Allah SWT.
Para sahabat dan tabiin sering sahaja berkumpul untuk tilawah dan bertadarus, iaitu bersama-sama menyemak isi kandungan al-Quran. Mereka duduk bersama-sama berbincang,berbahas tentang sesuatu hukum sehinggalah jelas semua permasalahan yang timbul.Mereka membaca dengan memerhatikan al-Quran,menghafaz dengan tartil, berhenti sejenak pada ayat-ayat yang membuatkan mereka tajub, menangis di kala mendengar setiap nasihat, gementar bilamana mendengar ayat-ayat menakutkan serta gembira dengan berita kebahagiaan.Mereka mentaati setiap perintah Allah SWT.
4. Kesan Mematuhi Adab-adab al-Quran di Kalangan Masyarakat
Al-Quran adalah merupakan kalam hidayah yang dapat memberi petunjuk dan bimbingan kepada sekelian makhluk di sepanjang zaman.Oleh yang sedemikian memang wajarlah bagi setiap muslim berusaha bagi mendapat hidayah dari Allah SWT itu.Justeru itu bagi mendapat sebanyak mungkin petunjuk ke arah jalan yang benar hendaklah mengikut adab-adab al-Quran ini kerana ia memberi kesan yang besar terhadap komuniti masyarakat muslim antaranya adalah seperti berikut :
4.1 Takut Kepada Allah
Masyarakat rosak adalah kerana membelakangkan pengajaran al-Quran.Keadaan tersebut boleh kita perhatikan di sekeliling kita.Melalui media elektronik umpamanya seringkali memaparkan gejala keruntuhan akhlak mudamudi.Oleh kerana itu, tidak ada jalan pintas bagi menghindari keruntuhan tersebut melainkan kembali kepada pengajaran dan pembelajaran al-Quran.
Masyarakat yang berpegang dengan al-Quran.Al-Quran akan bertindak menjadi pelindung dari melakukan sesuatu yang berlawanan dari syariat Islam.Setiap perlakuan sudah tentunya akan bersandar pada syariat yang benar kerana mereka gementar dan takutkan azab seksaan Allah yang tidak terperi sakitnya.
4.2 Cintakan Kebaikan
Masyarakat yang sentiasa sahaja berpegang dengan pengajaran al-Quran,menjadi mustahil seandainya melakukan kerosakkan yang melanggar hukum Allah SWT.Kerana semua sudah sedia maklum bahawa hati yang sentiasa mendampingi Allah, Allah akan menjaganya daripada melakukan sesuatu yang melanggar batas-batas syariat Islam.
Ini bermakna: hati sentiasa mengingati Allah dalam semua keadaan.Seolah-olahnya Allah sentiasa sahaja memerhatikan kita pada setiap masa dan keadaan.Justeru itu, mereka sentiasa sahaja menjadikan diri lebih rapat dengan Allah dengan cara mencintai kebaikan.
4.3 Menghindari Kejahatan dan Maksiat
Hati bilamana sentiasa sahaja dipenuhi dengan kecintaan kepada Allah SWT sudah tentunya menjauhi setiap kejahatan dan maksiat.Ini kerana dua keadaan tersebut (kejahatan dan maksiat) mengundang murka Allah.
Mengundang murka Allah menjauhi rahmat Allah.Hal tersebut adalah larangan yang semestinya dijauhi bagi mereka yang cintakan al-Quran.Mereka menjadikan al-Quran sebagai bacaan yang wajib dibaca dan ditadabbur maknanya.Setiap ayat yang dibaca mereka jadikan sebagai satu nasihat,teguran yang wajib dilaksanakan dengan segera tanpa perlu ditangguh lagi.
4.4 Aman dan Tenteram
Hasil daripada kecintaan kepada Allah.Masyarakat akan berada dalam keadaan aman dan tenteram.Sejarah lampau telah menunjukkan kepada kita masyarakat Islam akan makmur kerana berada di bawah payungan Allah SWT.Hati akan keluh kesah seandainya kita membelakangkan syariat Allah.
Syarat bagi mendapat keamanan dan ketenteraman adalah mengikut segala yang ditulis di dalam al-Quran.Ini bermakna kita bukan sekadar membaca al-Quran bahkan dituntut untuk memahami dan mengamalkannya dalam semua aspek kehidupan kita.
4.5 Bahagia
Kebahagiaan adalah impian bagi setiap orang.Kita sanggup berhabisan wang ringgit demi untuk mendapatkan kebahagiaan. Wang yang banyak bukan satu ukuran untuk mendapatkan kebahagiaan.Kebahagiaan itu bersifat subjektif. Allah telah menunjukkan kita cara bagi mendapatkan kebahagiaan.Salah satu caranya adalah dengan cara membaca al-Quran.
Pembaca al-Quran Allah masukkan padanya ketenangan.Ketenangan inilah antara menjadi igauan bagi semua orang.Jiwa yang tenang datang dari hati yang bersih.Bersih dari segala kekotoran maksiat.Justeru itu, sebagai balasan Allah sediakan untuknya kebahagiaan.Kebahagiaan di dunia dan kebahagiaan di akhirat.
4.6 Suburnya Segala Sifat Yang Baik
Pepatah ada mengatakan bahawa buah yang baik hasil dari benih yang baik.Ini bermakna manusia yang baik adalah hasil didikan Islam yang cemerlang.Islam telah mengariskan latihan solat bermula pada usia 7 tahun.Bermulanya pada peringkat tersebut kanak-kanak akan diberikan latihan dan tunjuk ajar bagi menyempurnakan solat. Dan salah satu yang utama adalah melalui latihan membaca al-Quran.Sedikit demi sedikit hinggalah mampu berdikari sendiri.
Keadaan tersebut menjelaskan kepada kita bahawa untuk mendapatkan sifat yang baik memerlukan kepada latihan yang gigih.Hanya latihan yang kuat dan berterusan sahaja yang mampu mentarbiahkan diri menjadi insan yang baik dan mulia. Maka melalui tarbiah inilah lahirnya generasi al-Quran yang subur mekar segala sifat yang baik.
4.7 Beroleh Kejayaan Hidup di Dunia dan Akhirat
Kita sudah sedia maklum bahawa sesiapa sahaja yang menurut setiap perintah Allah akan beroleh kejayaan hidup sama ada di dunia atau di akhirat.Mereka menjadikan al-Quran sebagai rujukan dan panduan hidup.Ini bermakna al-Quran bukan sekadar dibaca tetapi diamalkan.Oleh kerana itu selayaknyalah mereka beroleh kejayaan mutlak.
5. Kesimpulan
Melalui perbincangan ringkas di atas jelaslah kepada kita bahawa al-Quran itu merupakan kalamuLlah yang begitu agung.Tidak tergambar melalui kata-kata mahupun catatan kerana ia terlalu istimewa.Meninggalkannya satu kerugian besar pada diri yang seharusnya tidak ada padanya kemaafan.
Dalam kehidupan kita seharian ada kalanya kita tergelincir dari landasan Islam.Al-Quran adalah rujukan utama bagi kita bagi membetul dan meletakkan diri kita atas landasan yang betul dan lurus.Jadi memang benarlah al-Quran memandu ke arah hidup yang diredhai Allah.
Dengarlah keseluruhan nasihat dan teguran yang terdapat di dalam al-Quran, kerana pada siapakah lagi di atas dunia ini yang harus kita sandarkan pada setiap permasalahan yang rumit dan sukar ini melainkan kepada pencipta yang Maha Agung iaitu Allah SWT.

Artikel di atas di ambil pada hasil perbincangan penulis dengan isteri tercinta , Nor Ayu Mohd Ali dan juga rujukan beberapa buah buku
1 ulasan:
salam, segala pujian buat Allah swt. selawat serta salam keatas rasul saw wa ba'd.
sy sedang mencari sesuatu diinternet dan bertemu dgn laman saudara. maaf sy tidak membaca sampai habis krn apa yg sy cari tiada disini, cuma sy baca sehingga point 2.2 saudara berkenaan huraian surah al-baqarah ayat 106. saya cadangkan agar saudara merujuk kpd kitab tafsir ibn katsir akan syarahan ayat tersebut, semoga saudara mendapat gambaran yang lebih jelas lagi berkenaan tafsir ayat tersebut. WA.
Catat Ulasan