11 September 2008



Benarkah Undang-Undang PentadbiranTentang Poligami Di Malaysia Menzalimi Wanita ?
1. PENDAHULUAN

Islam adalah agama fitrah yang mengiktiraf kepelbagaian keperluan dan kehendak manusia dalam hidup berpasangan. Berasaskan kepada keadaan inilah Islam membenarkan poligami yang merupakan amalan masyarakat turun temurun. Bagi memastikan amalan poligami secara lebih adil dan dapat menjamin kesejahteraan hidup , Islam telah menetapkan syarat-syarat tertentu yang menghadkan amalan yang bebas sebelum ini dan mengambil jalan pertengahan yang lebih wajar. Syariat Islam menetapkan bahawa seorang lelaki boleh berkahwin dengan seorang perempuan tidak melebihi empat orang.


2. PENGERTIAN POLIGAMI

Dalam Kamus Dewan Bahasa ( 2002, 1049 ), poligami bermaksud : amalan beristeri lebih daripada satu orang pada masa yang sama.
Ada juga yang mendifinasikan perbuatan seorang lelaki mengumpulkan tanggungannya dua hingga empat isteri , tidak boleh lebih.

Dalam Bahasa Arab, poligami disebut ta’addad bererti bilangan manakala perkataan al-zawjat diambil dari perkataan al-zawjat yang bererti isteri. Dua perkataan tersebut apabila digabungkan menjadi erti jama’ iaitu ramai isteri. Maka poligami dapat dikatakan sebagai perkahwinan melebihi seorang isteri, berbeza dengan monogamy yang mempunyai erti perkahwinan dengan seorang wanita sahaja. ( Zaini, 2000:2)

3. DALIL-DALIL DISYARIATKAN POLIGAMI

Agama Islam telah mengikis kekacauan yang terjadi pada umat terdahulu dimana poligami tidak dibatasi oleh jumlah tertentu. Ketika Islam datang, para lelaki Kabilah Tsakif, ramai yang memiliki sepuluh orang isteri, antara lain seperti : Mas’ud bin Umar, Urwah bin Mas’ud, Sufyan bin Abdullah, Ghailan bin Salamah, Abu Agil Mas’ud bin Amr, Urwah bin Mas’ud bin Mu’tib. Lalu Islam membatasinya hanya empat isteri sahaja.

3.1 DALIL DARI AL-QURAN


Firman Allah SWT :

وإن خفتم ألا تقسطوا في اليتامى فانكحوا ما طاب لكم من النساء مثنى وثلاث ورباع فإن خفتم ألا تعدلوا فواحدة أو ما ملكت أيمانكم ذلك ادنى الا تعولوا

Maksudnya :
" Dan jika kamu tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim ( apabila kamu berkahwin dengan mereka ), maka berkahwinlah dengan perempuan-perempuan lain yang kamu berkenan , dua , tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil ( diantara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja, atau memadailah dengan hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman".
Surah An-Nisa’, ayat 3

3.2 DALIL DARI AL-HADITH

Qaisbin Al-Harits ra, beliau berkata : " Ketika masuk Islam, saya memiliki lapan isteri, saya menemukan Rasulullah SAW dan menceritakannya keadaan saya, lalu Beliau bersabda : " Pilih empat di antara mereka ".
( Ibnu Majah , Sunan Ibnu Majah No. 1953 )


4. POLIGAMI DALAM UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM DI MALAYSIA

Dalam undang-undang keluarga Islam di Malaysia , poligami dibenarkan dengan syarat suami hendaklah mendapat kebenaran bertulis daripada Mahkamah Syariah terlebih dahulu. Ini diperuntukan dalam seksyen 23(1) Akta Undang-Undang Keluarga Islam ( Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984. Menurut seksyen 23(3) AUKI 1984, permohonan suami hendaklah dikemukakan kepada Mahkamah mengikut cara yang ditetapkan dan hendaklah disertai dengan suatu akuan. Akuan tersebut hendaklah mengandungi alas an-alasan mengapa perkahwinan poligami ini patut dan perlu, keadaan kewangan suami dengan memberi butir-butir komitmennya dan kewajipan dan tanggungan kewangannyayang patut ditentukan serta bilangan tanggungan termasuk orang yang akan ditanggungnya berikutan dengan perkahwinan baru yang dicadangkan. Selain dari itu pemohon juga kena menyatakan sama ada izin atau pandangan isteri atau isteri-isteri telah diperolehi mengenai perkara tersebut.

Mahkamah dalam memberi pertimbangan akan mengambil kira empat syarat kebenaran untuk berpoligami sebagaimana yang diperuntukkan dalam seksyen 23(4) AUKI 1984 , iaitu :

Perkahwinan yang dicadangkan itu adalah patut dan perlu memandangkan kepada keadaan isteri dari segi kemandulan , keuzuran jasmani , tidak layak dari segi jasmani untuk persetubuhan , sengaja ingkar mematuhi untuk pemulihan hak-hak persetubuhan atau gila.
Pemohon mempunyai kemampuan mengikut kehendak syarak untuk menaggung semua isteri dan tanggunggannya termasuk orang yang bakal ditanggungnya berikutan dari perkahwinan yang baru.

Pemohon berupaya memberi layanan sama rata kepada semua isteri mengikut kehendak hukum syarak.

Perkahwinan yang dicadangkan tidak akan menyebabkan darar syar’ie kepada isteri.
Persoalan sama ada keempat-empat syarat di atas perlu dipenuhi kesemuanya dalam satu-satu permohonan telah diputuskan dalam kes Aishah lwn Wan Mohd Yusof, (1990) 3 MLJ 1x dan (1991) JH Vll, yang dibicarakan dalam Jawatan Kuasa Rayuan Mahkamah Syariah Selangor. Hakim membuat keputusan bahawa keempat-empat syarat yang disebut di bawah Sek. 23(4) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor adalah sama pentingnya dan hendaklah dibuktikan berasingan oleh pihak suami.

Perkara sama juga telah diputuskan oleh Jawatan Kuasa Ulang Bicara Selangor dalam kes Rajamah lwn Abd Wahab , (1990) JH 171. Oleh sebab suami gagal membuktikan bahawa dia dapat memenuhi kesemua syarat dan keperluan dalam Sek 23(4) tersebut, Mahkamah menolak permohonan suami untuk berpoligami.

Hakikatnya syarat yang dikenakan dalam undang-undang bukan bertujuan untuk mengharamkanh poligami kerana mengharamkannya bertentangan dengan hokum syarak. Namun ia dijadikan sebagai salah satu cara untuk mengawal kaum lelaki daripada menyalahgunakan keharusan berpoligami sesuka hati mereka. Sebagai pengiktibaran yang paling baik dapat dilihat dalam kes Ruzaini lwn Nurhafizah , (2002) JH 79 memperlihatkan bagaimana adilnya hakim dalam membicarakan kes permohonan berpoligami. Walaupun mendapat keizina dari isteri untuk berkahwin lagi satu , namun mahkamah tetap tidak meluluskannya kerana sangsi dengan kemampuan suami untuk berlaku adil dengan kedua-dua isteri dan tanggungan.

Seterusnya bagi mengelakkan penganiayaan terhadap wanita , AUKI 1984 juga telah memperuntukkan penalti bagi lelaki yang tidak memperolehi kebenaran mahkamah tetapi tetap juga berkahwin lagi secara poligami. Seksyen 123 menyebut bahawa lelaki yang berpoligami tanpa mendapat kebenaran bertulis terlebih dahulu dari mahkamah adalah melakukan kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara tidak melebih enam bulan atau kedua-duanya sekali. Peruntukan ini selaras dengan ajaran Islam yang menekankan pentingnya kaum wanita itu dilindungi dari penyalahgunaan amalan poligami yang sememangnya dihalalkan ini. Penekanan perlu dibuat supaya suami memberi keadilan yang secukupnya kepada isteri.

5. KESIMPULAN

Berdasarkan kepada perbincangan di atas, beberapa kesimpulan dapat dirumuskan iaitu :
Poligami menjadi bukti kesempurnaan hukum Islam kerana dapat mengelakkan manusia daripada melakukan zina dan perlakuan membela perempuan simpanan yang pastinya menzalimi diri dan wanita. Namun begitu poligami diharuskan untuk dinikmati dan digunakan dengan penuh tanggungjawab. Ukuran tanggungjawab digariskan dengan terang melalui amalan keadilan. Adil di sini menyentuh soal giliran, pemberian nafkah zahir dan batin , makan-minum , pakain , jaminan keselamatan dan tempat tinggal. Justeru itu, haram berpoligami bagi lelaki yang tidak dapat memenuhi tuntutan tersebut.

Syarat yang ketat ditetapkan dalam undang-undang keluarga Islam bukanlah bertujuan mengharamkan poligami. Ia dirangka bagi menjaga ketenteraman rumah tangga dan mengelak dari penindasan serta kezaliman suami terhadap isteri. Ia juga mengelak timbulnya fitnah dalam masyarakat yang akan merendahkan martabat agama Islam.



RUJUKAN

Al-Ghazali, Abu Hamid Muhammad bin Muhammad , tt, Ihya Ulumu al-Din,
Al-Fikr, Beirut.

Anonim, 2002, Kamus Dewan Bahasa, Edisi Ketiga, Dewan Bahasa dan Pustaka,
Kuala Lumpur.

Anonim, Al-Qur’an Al-Karim dan Terjemahannya,1996, Karya Toha Putra,
Semarang.

Muhammad, Zaleha, 2002, Analisis Poligami Menurut Perspektif Islam,
Lhohprint Sdn.Bhd, Selangor


Nasohah, Zaini, 2000, Poligami Hak Keistemawaan Menurut Syariat Islam,
Percetakan Cergas (M) Sdn.Bhd., Kuala Lumpur.





Bersambung......

Tiada ulasan: