14 September 2009

Sukarnya Tugas Ibu

Seandainya diberi pilihan jantina,yang mana satukah pilihan anda?Lelaki atau Perempuan?.Bagi saya,saya lebih suka berada pada kurnian Allah yang telah sedia ada.Allah telah takdirkan bagi saya sebagai seorang lelaki.Oleh itu,saya amat bersyukur di atas kurniaan Allah yang tidak terhingga itu.Jadi,bagi seorang perempuanpun seharusnya turut sama menadah tangan mensyukuri atas anugerah Allah itu sebab apa sahaja yang diberikan Allah itu sudah kena pada tempatnya.Berkenaan tajuk di atas mari kita (lelaki) sama-sama hayati perkara berikut dan kemudian berusaha untuk menjawabnya.

Pernahkah anda melalui satu keadaan yang mana isteri menyambung belajar atau ada tugasan luar umpama terpaksa menghadiri kursus,seminar dan meninggalkan tugas menjaga anak di rumah?Bagi yang pernah menjaga anak di rumah, pastinya pernah merasai betapa sukarnya menjaga dan mengawal anak.Dengan kerenah anak-anaknya, pengurusan dirinya; mandi, pakai dan makan serta pelbagai lagi kelengkapan yang kita kena sediakan.Manakala kita akan berusaha menampilkan yang terbaik dengan harapan bilamana isteri pulang nanti dia akan mengetahui betapa suami juga mampu menguruskan rumah tangga dan pengurusan anak-pinak pada tahap yang paling sempurna.malangnya semuanya itu tidak berlaku.Jauh di sudut hati kita mula memikirkan bagaimanakah isteri melalui semua itu.

Dalam keadaan tersebut semua tugas ibu, terpaksa kita pikul.Bermula di awal pagi.Kita kena bangun awal.Walaupun ketika itu mata begitu sukar untuk diajak berbincang namun semua itu terpaksa kita lalui.Sesudah mandi dan solat, mulalah dengan urusan mendobi.Satu perkara yang liat dan agak sukar untuk dilakukan.Diikuti pula dengan tugasan memasak.Aduh pak gawat sekali nihhh.Setelah anak bangun, satu kerja yang maha sukar sudah mula bertambah dan sedang menanti kita.Sikecil sudah mula merengek-rengek minta dibuatkan susu.Manakala Kakak (panggilan untuk anak yang ketiga) sudah mula mengheret mainannya lantas sudah mula berkira-kira untuk bermain di luar.Along dan Angah mula berebut-rebut mencari remote TV.Kelambu,tilam,bantal serta selimut berselerak.Sakit mata dibuatnya.Pada ketika ini kalaulah tetamu datang bertandang, malunya muka tidak terkira. Sambil mulut membebel tangan mula mengemas kelengkapan tersebut.Sianak masih tetap tidak berganjak pada tempatnya.Aduh tensionnye. Gila dibuatnya.Tapi demi anak kita lakukan juga sedaya mungkin.Sarapan pagi telah siap terhidang.Menjadi satu masalah pula untuk memujuk 4 orang anak agar bersegera ke dapur, duduk semeja menikmati sarapan pagi.Kakak sambil menjamah sarapan sambil mulutnya mengomen; adik tak sedap ayah masak,bukan macam ni masak nasik goreng kan? Ummi (panggilan untuk ibunya ) masak sedap.Dan bermacam-macam lagi komennya.Makan je la jangan banyak cakap yang penting kenyang jawab saya cuba meredakan keadaan sambil cuba memujuk.

Begitulah keadaan pada setiap hujung minggu.Yang mana,satu hari dirasakan begitu lambat berlalu seolah-olah 1 bulan rasanya.Kalau diikutkan hati mahu sahaja mengambil Bibik tapi apakan daya semuanya itu diluar kemampuan.Natijahnya begitu sukar sekali tugasan sebagai seorang ibu.Bagi suami,sekalipun kepala mengangguk tanda bersetuju dan merelakan semua tugasan dipikul tetapi hati tetap menggeleng sambil mengharap agar si isteri segera menamatkan tugasannya.

08 September 2009

Melayan Kerenah Anak Berpuasa Ramadan

Kita akui bahawa Ramadan adalah merupakan titik tolak kepada perubahan diri; dari yang kurang baik kepada bertambah baik.Bagi yang telah berkeluarga dan sudah mempunyai anak. Kita adalah model yang menjadi rujukan terbaik anak-anak.Ini bermakna, dalam segala hal, anak-anak akan perhatikan kita.Lantas akan mengikut apa sahaja tindakan kita; sama ada yang baik mahupun yang buruk.Begitulah realitinya.Lantaran itu, berusahalah menampilkan contoh yang paling sempurna,yang tidak berlawanan dengan sunnah Rosul.
Melayan kerenah anak yang baru berjinak dengan amalan berpuasa cukup meletihkan.Perlu dibelai dan dipujuk.Ada ketikanya memberontak agar sentiasa dibelikan untuknya beberapa juadah berbuka untuknya pada setiap petang di Bazar Ramadan, manakala jika diajukan pertanyaan, perlu dijawab dengan berhemah, agar jawaban yang diberikan memenuhi selera akalnya disamping tidak lari jauh dari tuntutan Islam.


Melihat keadaan anak (berusia 7 tahun dan 9 tahun ) berpuasa, kadang-kadang meruntun perasaan belas kasihan.Setelah pulang dari sekolah (Sekolah Kebangsaan Perian, Pulau Tawar,Jerantut, Pahang tamat 1.30 ptg kemudian terus sambung kelas Fardu Ain sehingga pukul 3.40 petang) terus sahaja tertidur keletihan.Kadang-kadang meminta kepada saya supaya mengecualikannya dari hadir ke kelas Fardu Ain pada hari esoknya atas alasan panas dan letih.Ada masa saya cuba menguji; iaitu bagi sesiapa yang hadir ke kelas fardu Ain saya akan belikan apa sahaja makanan kegemarannya pada berbuka puasa nanti.Namun tawaran tersebut dipandang sepi; tidak ada yang menyahut tawaran tersebut.


Setiap kali bersahur, cukup bermasalah untuk bangun.Sehinggakan dalam Bilik Airpun mereka boleh tidur. Dihadapan hidangan makanan, jika tidak dipaksa untuk makan maka memadai bagi mereka sekadar meneguk seteguk air suam lantas bergegas semula ketempat tidur.


Menjelang Solat Suboh, sekali lagi menjadi satu masalah besar pada mata mereka untuk bangun segera untuk melakukan Solat Suboh berjemaah.Lantas Angah memberi cadangan dengan mata yang masih terpejam, ayah solatlah dulu nanti angah solat kemudian.Setelah bangun, menjadi liat dan payah pula diri mereka untuk mandi,solat dan menguruskan diri untuk kesekolah.Masing-masing tolak menolak ke Bilik Air. Sejuk kata mereka.


Beginilah rutin pada setiap hari dalam Bulan Ramadan, yang menuntut sabar pada tahap paling maksima demi untuk mendidik anak-anak agar membiasakan diri menurut perintah Allah S.W.T.Sedangkan kita yang sudah biasapun kadang-kadang agak berat dan terbabas untuk melaksanakan segala kewajipan tersebut.Kalaulah kita tidak melatih pada peringkat ini, jaganlah kita memasang impian yang terlalu tinggi untuk melihat anak-anak tunduk dan patuh segala perintah Allah S.W.T. Renung-renungkan….

Doa Berpisah Dengan Bulan Ramadan



“ Ya Allah, inilah Bulan Ramadan yang di dalamnya Engkau telah menurunkan al-Quran yang telah berlalu. Aku berlindung dengan kekuasaan Mu yang mulia, wahai pemilik fajar yang terbit dari malam-malam ku dan pemilik Bulan Ramadan yang sudah berlalu ini. Kepada Mu aku mengadukan kesalahan dan dosaku yang dengannya Engkau akan menyeksaku pada hari perjumpaan dengan Mu kelak. Ya Allah, Janganlah Engkau jadikan puasa ini sebagai puasa yang terakhir dalam hidupku. Seandainya Engkau berketetapan sebaliknya, maka jadikanlah puasaku ini sebagai puasa yang dirahmati bukan yang sia-sia semata. Ya Allah, Jadikanlah puasaku di dalamnya mendapat hadiah pahala serta diterima sebagai amalan yang mendatangkan keredhaan Mu dan daripada Rasul Mu. Serta dihubungkan cabang-cabangnya dengan pokok, dengan hak kemuliaan Nabi Muhammad S.A.W.dan ahli keluarga Baginda S.A.W. yang suci “

Ramadan Kau Tetap Meninggalkan Kami



Sedar ataupun tidak kini kita telahpun berada pada 20 Ramadan 1430H. Ini bermakna hampir seminggu lebih sahaja lagi Ramadan akan melabuhkan tirainya. Di sini saya cuba mengajak para tetamu agar cuba menoleh ke belakang, meninjau ibadah kita di sepanjang bulan Ramadan ini. Adakah kita berjaya melakukan dengan kadar paling maksima atau sekadar ada sahaja, lebih malang lagi ada yang tidak mengetahui hujung pangkal ibadah wajib mahupun sunat.Padanya tidak ada perbezaan sama ada dalam Bulan Ramadan dengan bulan-bulan yang lain.

Hati merasa sebak.Dalam keadaan riang gembira menanti lebaran yang kian menjelang saya terfikir sejenak untung nasib kita pada bulan Ramadan akan datang adakah kita masih sempat berjumpa dengannya ataupun sebaliknya.Jika sempat AlhamduLillah , jika tidak kitalah antara insan yang paling rugi.Rugi kerana kurang atau tidak mengambil peluang yang terhidang di hadapan mata pada Ramadan tahun ini.

“ Ya Allah, Janganlah Engkau jadikan puasa ini sebagai puasa yang terakhir dalam hidupku. Seandainya Engkau berketetapan sebaliknya, maka jadikanlah puasaku ini sebagai puasa yang dirahmati bukan yang sia-sia…Amin Ya Rabbal alamin”.

Menyedari kemuliaan dan keberkatan dalam Bulan Ramadan ini mahu sahaja kita memohon kepada Allah agar sentiasa berada dalam Bulan Ramadan.Dan jaganlah hendaknya bulan ini berlalu pergi meninggalkan kita.Oleh kerana itulah, para sahabat R.H.menangisi berlalunya bulan yang penuh barakah ini. Rasanya belum puas lagi kita duduk berbuka puasa bersama, solat berjamaah, melaksanakan solat Tarawih dan Tadarus Al-Quran. Masa begitu pantas meninggalkan kita.Seolah-olah kita masih berada pada permulaan Ramadan.Namun, realitinya Ramadan tetap akan meninggalkan kita; sama ada kita sedari ataupun tidak.

“ Ya Allah! Jadikanlah puasaku di dalamnya mendapat hadiah pahala serta diterima sebagai amalan yang mendatangkan keredhaan Mu dan daripada Rosul Mu…”

03 September 2009

Rebutlah Peluang Yang Ada

Ramadan bulan yang indah, dipenuhi dengan pelbagai keampunan dan rahmat.Amatlah rugi bagi sesiapa yang meninggalkannya.Pada tahun hadapan tidak mungkin lagi kita dapat melaluinya kerana persoalan yang jauh ke hadapan di luar pengetahuan kita; boleh jadi kita sakit atau lebih dasyat lagi, kita pergi meninggalkan dunia.Justeru itu rebutlah peluang yang ada.

Ramadan adalah bulan bersatu hati. Buanglah yang keruh dan ambilah yang jernih.Bertaubatlah dengan segera.Jangan sampai nyawa sampai di halkum barulah sesal tidak terhingga.Mulakanlah kehidupan yang baik dalam bulan Ramadan. Bermaaf-maafanlah sesama keluarga, sahabat-handai dan jiran tetangga.Bersamalah kita membina kehidupan yang baik.Rebutlah peluang yang ada.

02 September 2009

Nuzul al-Quran Mengubah Sikap Muslim


Hari ini hari ke 14 Ramadhan dan 3 hari lagi iaitu 17 Ramadhan kita menyambut Nuzul Quran. Sempena sambutan Nuzul Quran ini, marilah kita bersama-sama tingkatkan ketaqwaan kepada Allah SWT melalui puasa Ramadhan ini serta melaksanakan segala perintah dan menjauhi segala larangan-Nya, sesungguhnya orang yang paling baik di sisi tuhan ialah orang yang paling bertaqwa.

Nuzul yang diambil daripada perkataan bahasa Arab diertikan sebagai penurunan, sementara al-Quran pula merupakan kitab Allah yang diberikan kepada Nabi akhir zaman iaitu Nabi Muhammad s.a.w. Jadi istilah Nuzul al-Quran boleh diertikan sebagai penurunan al-Quran ke atas baginda Rasulullah sebagai petunjuk kepada umat manusia sejagat.

Sesungguhnya dengan turunnya al-Quran pada bulan Ramadhan sejak lebih 1,400 tahun lalu, telah menyelamatkan manusia daripada melakukan tabiat serta tingkah laku yang tidak selari dengan fitrah mereka sendiri. Ia menjadi inspirasi ke arah kebaikan kerana di dalamnya penuh dengan ayat-ayat yang mampu mengubah sikap manusia kepada sesuatu yang baik dalam hidup mereka. Sayidina Umar bin al-Khattab yang dulunya dikenali sebagai seorang yang bengis dan amat membenci Rasulullah s.a.w. telah menemui jalan terbaik dalam hidupnya apabila dipertemukan dengan al-Quran yang akhirnya memeluk Islam.

Yang menariknya, Umar telah memeluk Islam hanya kerana membaca dan menatap beberapa potong ayat Quran daripada surah Taha. Umar menjadi seorang Muslim yang amat bertakwa dan yakin dengan Islam. Umar, setelah mengucap, terus mengisytiharkan keislamannya kepada seteru tradisi Rasulullah termasuk Abu Jahal. Umat Islam yang soleh seperti Saidina Umar dan umat Islam akhir zaman juga mengharapkan untuk mendapat syurga dan rahmat pada hari pembalasan, sedangkan cara hidup dan keyakinan mereka amat berbeza. Perkara ini ditegaskan sendiri oleh Allah SWT menerusi surah Fatiir ayat 32:

Maksud: “Kemudian Kami wariskan Al-Qur'an itu kepada orang yang Kami pilih dari kalangan hamba Kami; maka di antara mereka ada yang menzalimi diri sendiri, dan di antaranya ada yang bersikap sederhana, dan ada yang mendahului dalam berbuat kebajikan dengan izin Allah.”

Sesungguhnya di kalangan hamba Allah yang diwariskan al-Quran kepada mereka adalah yang bernama Islam (Muslimun) sedangkan penganut agama lain menolak kebenaran al-Quran secara mutlak. Namun dalam ayat di atas terdapat tiga jenis manusia di kalangan hamba Allah yang Islam yang berbeza pendirian atau sikap mereka terhadap al-Quran:

Pertama : Golongan yang menganiayai diri mereka sendiri iaitu golongan yang kesalahan dosa mereka lebih banyak daripada pahala kebaikan, kerana mereka tidak membaca al-Quran, mentelaah, berdiskusi apatah lagi untuk beramal dengan perintah Allah di dalamnya.

Kedua : Golongan yang bersederhana iaitu golongan di mana kesalahan dosa mereka sama banyak dengan pahala, mereka adalah golongan yang membaca al-Quran tetapi belum bersedia untuk melaksanakan isi-isi kandungannya yang terdiri daripada hukum-hakam Allah.

Ketiga : Golongan yang berlumba-lumba untuk berbuat kebaikan ialah golongan yang amat banyak kebaikan yang dilakukannya dan amat jarang berbuat kesalahan, mereka adalah golongan yang bersedia untuk melaksanakan hukum perintah Allah dalam al-Quran seperti tekun solat, tidak minum arak, tidak berzina dan tidak menderhaka kepada Allah kerana hukum-hukum itu sahaja yang mampu menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh umat manusia sepanjang masa.

Kini terserah kepada kita untuk meletakkan kedudukan diri di antara ketiga-tiga jenis orang Islam seperti ayat di atas. Sesungguhnya peluang untuk membaca al-Quran serta menyelidiki hikmah di dalamnya adalah kewajipan umat Islam sendiri. Orang bukan Islam tidak akan membaca al-Quran melainkan mereka hendak mendekati dan memahami Islam. Persoalan besar di sini ialah apakah jawapan kita apabila Allah melontarkan soalan kepada Muslim yang membaca al-Quran seperti di dalam ayat 101 surah Ali ‘Imran:

Maksudnya : Dan bagaimana kamu akan menjadi kafir padahal kepada kamu dibacakan ayat-ayat Allah (Al-Qur'an), dan dalam kalangan kamu ada RasulNya (Muhammad, s.a.w.)? Dan sesiapa berpegang teguh kepada (agama) Allah, maka sesungguhnya ia telah beroleh petunjuk hidayah ke jalan yang betul (lurus).

Ayat ini menunjukkan kepada kita terdapat di kalangan orang Islam menjadi kafir sedangkan al-Quran dan Sunnah berada di sisinya. Ini adalah disebabkan mereka tidak dapat menerima petunjuk Allah, justeru mereka ingkar kepada ayat Allah akan menjadi kafir. Sesungguhnya Allah SWT memberikan penghormatan kepada kita sebagai manusia dengan kemuliaan-Nya, agar kita menjadi golongan yang mulia. Salah satu pendekatan yang mengangkat martabat umat ini ialah dengan mengamalkan ajaran al-Quran secara menyeluruh. Oleh itu, mimbar menyeru semua pihak di dalam keberkatan Ramadhan yang mulia ini, marilah kita sama-sama mengambil manfaat untuk meningkatkan ketakwaan dan mengubah segala kelakuan buruk kita ke arah yang lebih diredhai Allah s.w.t.

Maksud: “Sesiapa yang mahukan kemuliaan, maka bagi Allah-lah kemuliaan itu semuanya, kepada-Nyalah naik perkataan-perkataan yang baik dan amal soleh dinaikkannya.” (surah Faatir : 10)