08 Januari 2009

Wajarkah Sambutan Tahun Baru

Tahun 2008 telah melabuhkan tirainya. Seperti di tahun-tahun sudah kita telah dihidangkan dengan pelbagai program menarik.Bermula dengan program pada peringkat kebangsaan hinggalah ke peringkat negeri. Media elektronik dan media massa menjadi medium utama dalam memaparkan agenda sambutan tahun baru. Iklan-iklan telahpun dikeluarkan dan dihebahkan kepada seluruh warga Malaysia.Di kota mahupun di desa semuanya maruf akan program yang bakal disambut pada detik 12 tengah malam itu. Kegembiraan jelas terpancar di setiap wajah, seolah-olah akan dapat Durian Runtuh pada setiap isi rumah. Tua, muda telah memasang impian akan keluar ke bandar bagi merakamkan detik-detik indah di tahun akhir 2008.

Kawasan-kawasan awam seperti kedai makan, taman bunga, panggung wayang dan pasar raya menjadi tempat tumpuan. Para peniaga mengambil peluang dengan menawarkan pelbagai pekej menarik.Antaranya jualan murah (walaupun pada hakikatnya tidak murah),cabutan bertuah dan pelbagai lagi.Maka berpusu-pusulah bagi pihak Cik Kiah untuk merebut peluang harga runtuh dan beberapa pekej menarik. Manakala Abang Man, mewakili pihak suami menunggu dengan penuh tabah dan sabar : setahun sekali, apa salahnya.Kawasan letak kereta semakin penuh dengan lautan kereta. Ada kalanya sehingga menimbulkan pegaduhan.Pertandingan karoke dan nyanyian mulai mendapat tempat.Bagi muda-mudi, inilah saat yang amat dinantikan.Justeru itu, taman bunga menjadi tempat bagi melepas rindu dendam.Sambutan Tahun Baru setahun sekali.Oleh itu, bergembiralah semahunya. Walaupun terpaksa mengorbankan marwah dan harga diri sebagai seorang Islam.

Menjelang detik 12 malam, pengarang sempat meninjau beberapa program di siaran TV tempatan.Walaupun ketika itu badan agak keletihan kerana baharu sahaja pulang dari mengahadiri sesi taklimat kerjaya di pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang di Kuantan, namun digagahi juga diri dengan harapan moga-moga program pada kali ini berbeza (berfaedah) berbanding sambutan tahun baru pada tahun lepas.Tetapi harapan tersebut ternyata meleset. Keadaannya tetap sama kita tetap dihidangkan dengan lambakan program hiburan yang melekakan dan melalaikan.Antaranya Majlis Sambutan Ambang 2009 anjuran AmBank di Dataran Merdeka. Artis (sekadar menyebut beberapa orang sahaja) seperti Hujan,Mawi,Estranged, Suki dan M.Nasir menghiburkan penonton dengan nyanyian, tarian dan aksi-aksi sampah yang tidak layak ditonton oleh orang Islam.Aksi-aksi riang gembira ini seolah-olah menenggelamkan beberapa episod duka penutup tahun 2008.Masih ingatkah lagi kita dengan kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa, Ulu Kelang.Dan yang paling besar adalah serangan tentera Israel ke atas penduduk awam Palestin yang mengorbankan ramai nyawa yang tidak berdosa ; kanak-kanak, orang-orang tua dan wanita.Merujuk kepada Kosmo 1.1.2009, Khamis halaman 50 dipetik sebagai beberapa negara Arab membatalkan majlis sambutan tahun baru 2009 sebagai tanda hormat terhadap masyarakat Palestin yang menjadi mangsa pengeboman tentera Israel.

Seminggu sebelum sambutan tahun baru pengarang pulang ke kampung.Bagi menghilangkan bosan, pengarang membuka setesen radio tempatan yang ketika itu sedang hangat membincangkan azam tahun baru.Maka bermacam-macamlah azam yang kedengaran. Ada yang berazam untuk menjadi suami/isteri yang baik dan bertanggungjawab,ada yang ingin mengumpul duit sebanyak mungkin bagi memenuhi hajat keperluan dan tidak kurang juga yang ingin melangsaikan hajat yang tertunggak pada tahun 2008.Semuanya cuba berazam untuk menjadi yang terbaik.Syabas dan tahniah. Cuma apa yang pengarang ingin tekankan di sini adalah sekitar beberapa persoalan yang pembaca perlu menganalisis dan menjawab sendiri antaranya : adakah azam tersebut menepati syariat Islam sebenar dan mampukah untuk dilaksanakan? Jika dua soalan ringkas ini jawabannya ya,teruskan.Semoga anda beroleh kejayaan di dunia dan akhirat.

Tiada ulasan: