08 September 2009

Doa Berpisah Dengan Bulan Ramadan



“ Ya Allah, inilah Bulan Ramadan yang di dalamnya Engkau telah menurunkan al-Quran yang telah berlalu. Aku berlindung dengan kekuasaan Mu yang mulia, wahai pemilik fajar yang terbit dari malam-malam ku dan pemilik Bulan Ramadan yang sudah berlalu ini. Kepada Mu aku mengadukan kesalahan dan dosaku yang dengannya Engkau akan menyeksaku pada hari perjumpaan dengan Mu kelak. Ya Allah, Janganlah Engkau jadikan puasa ini sebagai puasa yang terakhir dalam hidupku. Seandainya Engkau berketetapan sebaliknya, maka jadikanlah puasaku ini sebagai puasa yang dirahmati bukan yang sia-sia semata. Ya Allah, Jadikanlah puasaku di dalamnya mendapat hadiah pahala serta diterima sebagai amalan yang mendatangkan keredhaan Mu dan daripada Rasul Mu. Serta dihubungkan cabang-cabangnya dengan pokok, dengan hak kemuliaan Nabi Muhammad S.A.W.dan ahli keluarga Baginda S.A.W. yang suci “

Ramadan Kau Tetap Meninggalkan Kami



Sedar ataupun tidak kini kita telahpun berada pada 20 Ramadan 1430H. Ini bermakna hampir seminggu lebih sahaja lagi Ramadan akan melabuhkan tirainya. Di sini saya cuba mengajak para tetamu agar cuba menoleh ke belakang, meninjau ibadah kita di sepanjang bulan Ramadan ini. Adakah kita berjaya melakukan dengan kadar paling maksima atau sekadar ada sahaja, lebih malang lagi ada yang tidak mengetahui hujung pangkal ibadah wajib mahupun sunat.Padanya tidak ada perbezaan sama ada dalam Bulan Ramadan dengan bulan-bulan yang lain.

Hati merasa sebak.Dalam keadaan riang gembira menanti lebaran yang kian menjelang saya terfikir sejenak untung nasib kita pada bulan Ramadan akan datang adakah kita masih sempat berjumpa dengannya ataupun sebaliknya.Jika sempat AlhamduLillah , jika tidak kitalah antara insan yang paling rugi.Rugi kerana kurang atau tidak mengambil peluang yang terhidang di hadapan mata pada Ramadan tahun ini.

“ Ya Allah, Janganlah Engkau jadikan puasa ini sebagai puasa yang terakhir dalam hidupku. Seandainya Engkau berketetapan sebaliknya, maka jadikanlah puasaku ini sebagai puasa yang dirahmati bukan yang sia-sia…Amin Ya Rabbal alamin”.

Menyedari kemuliaan dan keberkatan dalam Bulan Ramadan ini mahu sahaja kita memohon kepada Allah agar sentiasa berada dalam Bulan Ramadan.Dan jaganlah hendaknya bulan ini berlalu pergi meninggalkan kita.Oleh kerana itulah, para sahabat R.H.menangisi berlalunya bulan yang penuh barakah ini. Rasanya belum puas lagi kita duduk berbuka puasa bersama, solat berjamaah, melaksanakan solat Tarawih dan Tadarus Al-Quran. Masa begitu pantas meninggalkan kita.Seolah-olah kita masih berada pada permulaan Ramadan.Namun, realitinya Ramadan tetap akan meninggalkan kita; sama ada kita sedari ataupun tidak.

“ Ya Allah! Jadikanlah puasaku di dalamnya mendapat hadiah pahala serta diterima sebagai amalan yang mendatangkan keredhaan Mu dan daripada Rosul Mu…”

03 September 2009

Rebutlah Peluang Yang Ada

Ramadan bulan yang indah, dipenuhi dengan pelbagai keampunan dan rahmat.Amatlah rugi bagi sesiapa yang meninggalkannya.Pada tahun hadapan tidak mungkin lagi kita dapat melaluinya kerana persoalan yang jauh ke hadapan di luar pengetahuan kita; boleh jadi kita sakit atau lebih dasyat lagi, kita pergi meninggalkan dunia.Justeru itu rebutlah peluang yang ada.

Ramadan adalah bulan bersatu hati. Buanglah yang keruh dan ambilah yang jernih.Bertaubatlah dengan segera.Jangan sampai nyawa sampai di halkum barulah sesal tidak terhingga.Mulakanlah kehidupan yang baik dalam bulan Ramadan. Bermaaf-maafanlah sesama keluarga, sahabat-handai dan jiran tetangga.Bersamalah kita membina kehidupan yang baik.Rebutlah peluang yang ada.

02 September 2009

Nuzul al-Quran Mengubah Sikap Muslim


Hari ini hari ke 14 Ramadhan dan 3 hari lagi iaitu 17 Ramadhan kita menyambut Nuzul Quran. Sempena sambutan Nuzul Quran ini, marilah kita bersama-sama tingkatkan ketaqwaan kepada Allah SWT melalui puasa Ramadhan ini serta melaksanakan segala perintah dan menjauhi segala larangan-Nya, sesungguhnya orang yang paling baik di sisi tuhan ialah orang yang paling bertaqwa.

Nuzul yang diambil daripada perkataan bahasa Arab diertikan sebagai penurunan, sementara al-Quran pula merupakan kitab Allah yang diberikan kepada Nabi akhir zaman iaitu Nabi Muhammad s.a.w. Jadi istilah Nuzul al-Quran boleh diertikan sebagai penurunan al-Quran ke atas baginda Rasulullah sebagai petunjuk kepada umat manusia sejagat.

Sesungguhnya dengan turunnya al-Quran pada bulan Ramadhan sejak lebih 1,400 tahun lalu, telah menyelamatkan manusia daripada melakukan tabiat serta tingkah laku yang tidak selari dengan fitrah mereka sendiri. Ia menjadi inspirasi ke arah kebaikan kerana di dalamnya penuh dengan ayat-ayat yang mampu mengubah sikap manusia kepada sesuatu yang baik dalam hidup mereka. Sayidina Umar bin al-Khattab yang dulunya dikenali sebagai seorang yang bengis dan amat membenci Rasulullah s.a.w. telah menemui jalan terbaik dalam hidupnya apabila dipertemukan dengan al-Quran yang akhirnya memeluk Islam.

Yang menariknya, Umar telah memeluk Islam hanya kerana membaca dan menatap beberapa potong ayat Quran daripada surah Taha. Umar menjadi seorang Muslim yang amat bertakwa dan yakin dengan Islam. Umar, setelah mengucap, terus mengisytiharkan keislamannya kepada seteru tradisi Rasulullah termasuk Abu Jahal. Umat Islam yang soleh seperti Saidina Umar dan umat Islam akhir zaman juga mengharapkan untuk mendapat syurga dan rahmat pada hari pembalasan, sedangkan cara hidup dan keyakinan mereka amat berbeza. Perkara ini ditegaskan sendiri oleh Allah SWT menerusi surah Fatiir ayat 32:

Maksud: “Kemudian Kami wariskan Al-Qur'an itu kepada orang yang Kami pilih dari kalangan hamba Kami; maka di antara mereka ada yang menzalimi diri sendiri, dan di antaranya ada yang bersikap sederhana, dan ada yang mendahului dalam berbuat kebajikan dengan izin Allah.”

Sesungguhnya di kalangan hamba Allah yang diwariskan al-Quran kepada mereka adalah yang bernama Islam (Muslimun) sedangkan penganut agama lain menolak kebenaran al-Quran secara mutlak. Namun dalam ayat di atas terdapat tiga jenis manusia di kalangan hamba Allah yang Islam yang berbeza pendirian atau sikap mereka terhadap al-Quran:

Pertama : Golongan yang menganiayai diri mereka sendiri iaitu golongan yang kesalahan dosa mereka lebih banyak daripada pahala kebaikan, kerana mereka tidak membaca al-Quran, mentelaah, berdiskusi apatah lagi untuk beramal dengan perintah Allah di dalamnya.

Kedua : Golongan yang bersederhana iaitu golongan di mana kesalahan dosa mereka sama banyak dengan pahala, mereka adalah golongan yang membaca al-Quran tetapi belum bersedia untuk melaksanakan isi-isi kandungannya yang terdiri daripada hukum-hakam Allah.

Ketiga : Golongan yang berlumba-lumba untuk berbuat kebaikan ialah golongan yang amat banyak kebaikan yang dilakukannya dan amat jarang berbuat kesalahan, mereka adalah golongan yang bersedia untuk melaksanakan hukum perintah Allah dalam al-Quran seperti tekun solat, tidak minum arak, tidak berzina dan tidak menderhaka kepada Allah kerana hukum-hukum itu sahaja yang mampu menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh umat manusia sepanjang masa.

Kini terserah kepada kita untuk meletakkan kedudukan diri di antara ketiga-tiga jenis orang Islam seperti ayat di atas. Sesungguhnya peluang untuk membaca al-Quran serta menyelidiki hikmah di dalamnya adalah kewajipan umat Islam sendiri. Orang bukan Islam tidak akan membaca al-Quran melainkan mereka hendak mendekati dan memahami Islam. Persoalan besar di sini ialah apakah jawapan kita apabila Allah melontarkan soalan kepada Muslim yang membaca al-Quran seperti di dalam ayat 101 surah Ali ‘Imran:

Maksudnya : Dan bagaimana kamu akan menjadi kafir padahal kepada kamu dibacakan ayat-ayat Allah (Al-Qur'an), dan dalam kalangan kamu ada RasulNya (Muhammad, s.a.w.)? Dan sesiapa berpegang teguh kepada (agama) Allah, maka sesungguhnya ia telah beroleh petunjuk hidayah ke jalan yang betul (lurus).

Ayat ini menunjukkan kepada kita terdapat di kalangan orang Islam menjadi kafir sedangkan al-Quran dan Sunnah berada di sisinya. Ini adalah disebabkan mereka tidak dapat menerima petunjuk Allah, justeru mereka ingkar kepada ayat Allah akan menjadi kafir. Sesungguhnya Allah SWT memberikan penghormatan kepada kita sebagai manusia dengan kemuliaan-Nya, agar kita menjadi golongan yang mulia. Salah satu pendekatan yang mengangkat martabat umat ini ialah dengan mengamalkan ajaran al-Quran secara menyeluruh. Oleh itu, mimbar menyeru semua pihak di dalam keberkatan Ramadhan yang mulia ini, marilah kita sama-sama mengambil manfaat untuk meningkatkan ketakwaan dan mengubah segala kelakuan buruk kita ke arah yang lebih diredhai Allah s.w.t.

Maksud: “Sesiapa yang mahukan kemuliaan, maka bagi Allah-lah kemuliaan itu semuanya, kepada-Nyalah naik perkataan-perkataan yang baik dan amal soleh dinaikkannya.” (surah Faatir : 10)