08 September 2009

Melayan Kerenah Anak Berpuasa Ramadan

Kita akui bahawa Ramadan adalah merupakan titik tolak kepada perubahan diri; dari yang kurang baik kepada bertambah baik.Bagi yang telah berkeluarga dan sudah mempunyai anak. Kita adalah model yang menjadi rujukan terbaik anak-anak.Ini bermakna, dalam segala hal, anak-anak akan perhatikan kita.Lantas akan mengikut apa sahaja tindakan kita; sama ada yang baik mahupun yang buruk.Begitulah realitinya.Lantaran itu, berusahalah menampilkan contoh yang paling sempurna,yang tidak berlawanan dengan sunnah Rosul.
Melayan kerenah anak yang baru berjinak dengan amalan berpuasa cukup meletihkan.Perlu dibelai dan dipujuk.Ada ketikanya memberontak agar sentiasa dibelikan untuknya beberapa juadah berbuka untuknya pada setiap petang di Bazar Ramadan, manakala jika diajukan pertanyaan, perlu dijawab dengan berhemah, agar jawaban yang diberikan memenuhi selera akalnya disamping tidak lari jauh dari tuntutan Islam.


Melihat keadaan anak (berusia 7 tahun dan 9 tahun ) berpuasa, kadang-kadang meruntun perasaan belas kasihan.Setelah pulang dari sekolah (Sekolah Kebangsaan Perian, Pulau Tawar,Jerantut, Pahang tamat 1.30 ptg kemudian terus sambung kelas Fardu Ain sehingga pukul 3.40 petang) terus sahaja tertidur keletihan.Kadang-kadang meminta kepada saya supaya mengecualikannya dari hadir ke kelas Fardu Ain pada hari esoknya atas alasan panas dan letih.Ada masa saya cuba menguji; iaitu bagi sesiapa yang hadir ke kelas fardu Ain saya akan belikan apa sahaja makanan kegemarannya pada berbuka puasa nanti.Namun tawaran tersebut dipandang sepi; tidak ada yang menyahut tawaran tersebut.


Setiap kali bersahur, cukup bermasalah untuk bangun.Sehinggakan dalam Bilik Airpun mereka boleh tidur. Dihadapan hidangan makanan, jika tidak dipaksa untuk makan maka memadai bagi mereka sekadar meneguk seteguk air suam lantas bergegas semula ketempat tidur.


Menjelang Solat Suboh, sekali lagi menjadi satu masalah besar pada mata mereka untuk bangun segera untuk melakukan Solat Suboh berjemaah.Lantas Angah memberi cadangan dengan mata yang masih terpejam, ayah solatlah dulu nanti angah solat kemudian.Setelah bangun, menjadi liat dan payah pula diri mereka untuk mandi,solat dan menguruskan diri untuk kesekolah.Masing-masing tolak menolak ke Bilik Air. Sejuk kata mereka.


Beginilah rutin pada setiap hari dalam Bulan Ramadan, yang menuntut sabar pada tahap paling maksima demi untuk mendidik anak-anak agar membiasakan diri menurut perintah Allah S.W.T.Sedangkan kita yang sudah biasapun kadang-kadang agak berat dan terbabas untuk melaksanakan segala kewajipan tersebut.Kalaulah kita tidak melatih pada peringkat ini, jaganlah kita memasang impian yang terlalu tinggi untuk melihat anak-anak tunduk dan patuh segala perintah Allah S.W.T. Renung-renungkan….

Tiada ulasan: