24 September 2008

Takaful satu penilaian ringkas penulis

1. PENGENALAN

Pada awal permulaan Islam, sistem insurans Islam tidak wujud namun satu sistem yang dipanggil Aqilah telahpun ada. Sistem tersebut adalah merupakan satu sistem dimana ganti rugi harus dibayar ke atas nyawa yang terbunuh secara tidak sengaja yang diberikan kepada waris si mati. Qasamah juga diguna pakai.Ia adalah satu sistem yang digunakan untuk menyelesaikan masalah pembunuhan yang dapat ditebus atau diselesaikan dengan cara bersumpah sebanyak 50 kali dan melibatkan 50 orang. Orang yang bertanggungjawab melakukan sumpahan tersebut ialah yang dipilih daripada ketua-ketua keluarga atau kumpulan dalam sesuatu tempat, yang semestinya mengaku tidak mengetahui siapa yang melakukan pembunuhan itu. Kemudiannya,mereka hendaklah menentukan bayaran ganti rugi yang sepatutnya dibayar kepada keluarga si mati.

2. ASAL USUL INSURANS

2.1 Definisi

Kontrak insurans adalah sebagai satu kontrak di mana seseorang individu ( yang dipanggil pihak penginsurans ) menanggung untuk membayar ganti rugi kos atau pembelian mengikut persetujuan yang tertentu ( yang dipanggil " premium " ) kepada seorang individu lain ( yang dipanggil pihak yang diinsurans ) sejumlah wang atau nilai yang bersamaan dengannya apabila berlaku kejadian yang merugikan. Kejadian tersebut mestilah mempunyai unsur-unsur ketidakpastian. Ianya boleh berlaku dalam kes insurans nyawa, walaupun peristiwa itu tetap akan berlaku dalam keadaan semulajadi. Masa berlakunya peristiwa tersebut tidak dapat ditentukan, atau kemalangan, suatu peristiwa yang berlaku hanya apabila berlakunya kejadian yang lain, yang mungkin terjadi secara kebetulan atau tidak sengaja, dan kejadian itu mungkin tidak berlaku langsung.

Dengan kata lain, kontrak insurans ialah kontrak di antara dua parti iaitu penginsurans dan pihak yang diinsuranskan. Pihak penginsurans bersetuju untuk membayar ganti rugi kepada pihak yang dinsurans apabila berlaku sesuatu kemalangan yang merugikan sebagai ganjaran kepada kos atau pembelian premium yang dibayar oleh pihak yang diinsurans.

Perjanjian insurans melibatkan beberapa syarat penting :

Hendaklah termeterai satu kontrak insurans di antara kedua-dua parti.
Hendaklah melibatkan unsur-unsur ketidakpastian dalam perkara yang diinsuranskan.
Hendaklah mendapat persetujuan pembayaran sejumlah wang atau pampasan daripada pihak penginsurans kepada pihak yang diinsurans apabila berlaku kerugian.
Perkara yang diinsurans itu hendaklah perkara yang tidak diingini berlaku oleh pihak yang diinsurans.

2.2 Asal Usul Insurans

Insuran mempunyai hubungan yang rapat dengan cara hidup berkumpulan. Dalam masyarakat primitif, manusia hidup secara berkeluarga dan berpuak-puak. Kehendak mereka dipenuhi dan dilindungi oleh sikap bekerjasama serta sikap tolong-menolong di antara satu sama lain. Oleh yang demikian mereka tidak memerlukan insurans kerana sudah tentunya mereka dilindungi sepenuhnya oleh masyarakatnya dari sebarang risiko. Masa kian berlalu, cara hidup berkeluarga dan berpuak-puak sudah ditinggalkan cara hidup individu dan morden mula mendapat tempat. Mereka mendapati dirinya terdedah kepada pelbagai jenis bahaya. Individu itu terhalang daripada pertolongan dan perlindungan keluarganya dan ini menyebabkan mereka mencari pilihan baru untuk menjaga kepentingannya. Oleh sebab itu wujudlah konsep insurans yang tidak diketahui bila , bagaimana dan siapa yang memulakannya.

3. SYARIKAT TAKAFUL MALAYSIA

Syarikat Takaful Malaysia Sdn. Bhd. Merupakan satu-satunya syarikat insurans yang mengamalkan sistem insurans berasaskan kepada syariah dan merupakan salah satu anak sayarikat Bank Islam Malaysia Bhd. Yang memegang 51 % ekuiti dalam Syarikat Takaful Malaysia Sdn. Bhd. Ia ditubuhkan pada 1 Ogos 1985 dengan modal berbayar RM 10 juta. 51 % sahamnya dipegang oleh Bank Islam Malaysia Bhd. Bakinya dipegang oleh badan-badan Islam seperti Majlis Agama Islam Negeri, perbadanan seperti Baitulmal, Perbadanan Kemajuan Ekonomi Islam Negeri , Yayasan Islam Negeri dan Lembaga Urusan Tabung Haji. Sebagai penjelasan lebih jelas kita perhatikan kenyataan berikut :

3.1 Pengenalan

Syarikat Takaful Malaysia Berhad ( Takaful Malaysia ) adalah merupakan sebuah Institusi kewangan yang beroperasi secara Islam. Dari segi asas perjalanan Takaful Malaysia adalah menurut landasan hukum-hukum syarak. Ia bertujuan menyediakan kemudahan dan perkhidmatan takaful yang lengkap kepada umat Islam. Sebagai sebuah syarikat, semestinya bertapak dan berkembang menurut dayajaya dan ukuran sebuah syarikat awam.

3.2 Objektif Korporat

Meninjau dari objektif korporat bagi Syarikat Takaful Malaysia Berhad ( Takaful Malaysia ) adalah seperti berikut :-

3.2.1 Untuk menyediakan perkhidmatan Takaful Keluarga dan Takaful Am yang bermutu tinggi kepada peserta-peserta takaful.

3.2.2 Untuk mencapai tahap dayajaya dan daya keuntungan yang memuaskan bagi perkembangan Takaful Malaysia.

3.2.3 Memupuk dan memajukan daya pengurusan yang dinamik sejajar dengan mutu dan kewibawaan sebuah syarikat perdagangan biasa.

3.2.4 Memajukan tenaga kerja yang bermotivasi dengan etika kerja yang sesuai dan penuh tanggungjawab kepada Takaful Malaysia serta cekap dan bersopan santun kepada peserta-peserta.

3.2.5 Berusaha setiap masa untuk melindungi kepentingan-kepentingan pemegang saham Takaful Malaysia.

3.3 Produk Yang Disediakan
Produk yang disediakan terbahagi kepada dua iaitu Takaful Keluarga dan Takaful Am. Pembahagian lebih jelas adalah seperti berikut :-

Takaful Keluarga

Takaful Keluarga iaitu menyediakan perlindungan bagi menghadapi malapetaka seperti kematian dan kecederaan ke atas diri seorang peserta. Juga merupakan satu bentuk perlindungan bagi individu yang ingin berikhtiar membuat persediaan menghadapi malapetaka dan bencana yang menimpa kea tad dirinya sendiri. Pelan Takafulnya adalah seperti berikut:
- Pelan Takaful Keluarga - Pelan Takaful Gadaijanji

- Pelan Takaful Keluarga Untuk Pelajaran - Pelan Takaful Sihat
- Takaful Rawat - Pelan Kakitangan Utama
- Pelan Takaful Ma’asyi - Pelan Takaful Keluarga
- Pelan Takaful Waqaf Berkelompok ( PTKB )
- Pelan Takaful Dana Pekerja - Pelan Takaful Keluarga
- Pelan Takaful Hawa Berkelompok ( Kredit )
- Pelan Takaful Ziarah - Takaful Rawat Berkelompok

Takaful Am

Takaful Am iaitu menyediakan perlindungan bagi menghadapi bencana yang mungkin berlaku ke atas harga benda milik individu seperti bangunan, rumah atau kenderaan. Bencana yang mungkin berlaku dibahagikan seperti berikut :

- Skim Takaful Rumah Desa - Skim Takaful Kejuruteraan
- Skim Takaful Kebakaran - Skim Takaful Marin
- Skim Takaful Kenderaan Berinjin - Skim Takaful Pelajar
- Skim Takaful Kemalangan Sekolah Malaysia
- Skim Takaful Tanggungan - Skim Takaful Jama’ah Haji

4 PENUTUP

Institusi-institusi kewangan Islam semakin hari semakin subur dan berkembang khususnya di Malaysia. Kerja ini hanya memaparkan sebahagian sahaja daripada pengoprasian yang berlandaskan Islam, namun terdapat banyak lagi insurans-insurans di Malaysia termasuklah yang lahir dan berkembang hasil daripada kemantapan institusi kewangan yang sedia ada.
Syariah Islam telah menetapkan prinsip-prinsip umum yang menentukan syarat-syarat jontrak perniagaan atau rundingan perdagangan. Selagi mana kontrak pertukaran ( insurans dan bukan insurans ) tidak melebihi batas-batas ini, ia dihukumkan halal dan sah. Syariah Islam tidak boleh menerima dan meniru mana-mana bidang atau sistem semata-mata kerana ia popular dan dijalankan oleh golongan lain atau diamalkan di Negara yang maju di dunia ini. Sebelum mana-mana sistem atau bidang boleh digunakan, kita mesti mengambil kira semua kemungkinan implikasinya dan menganalisis sifat, lingkungan dan kompenan-kompenan yang penting. Objektif utama analisis kita adalah untuk menyesuaikan dengan prinsip-prinsip asas Syariah Islam.

Tindakan yang betul ialah menerimanya sebagai satu bentuk perniagaan yang sah jika didapati bersesuian dengan prinsip-perinsip Islam dan menolaknya sama sekali jika ia menyalahi mana-mana perinsip asas Islam. Inilah sikap sebenar individu Muslim.

Tiada ulasan: